Home Nasional Vell Paari diminta selesaikan tunggakan gaji, pampasan bekas pekerja Tamil Nesan

Vell Paari diminta selesaikan tunggakan gaji, pampasan bekas pekerja Tamil Nesan

Ketua Editro Akhbar Tamil Nesan, K. Padmanaban menunjukkan memorandum untuk diserahkan memorandum kepada Datuk Seri S. Vell Paari berhubung tidak membayar pampasan pekerja-pekerja di Wisma E&C, Damansara Heights, Jalan Dungun, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri S. Vell Paari diberi tempoh seminggu untuk berunding dengan lebih 40 bekas pekerja akhbar, Tamil Nesan untuk menyelesaikan tunggakan gaji dan pampasan berjumlah lebih RM1.36 juta yang masih belum dijelaskan lagi.

Kesemua bekas pekerja dengan pengalaman antara 10 hingga 50 tahun hadir di pejabat Pengarah Urusan Tamil Nesan itu di Wisma E&C, Damansara Heights pada pukul  11 pagi untuk menyerahkan memorandum.

Dalam memorandum itu, mereka mendesak Pengarah Urusan syarikat akhbar itu berhenti menyembunyikan diri daripada berjumpa mereka dan tampil menyelesaikan tunggakan pampasan, termasuk faedah yang sepatutnya dibayar pada Mac lalu.

Bekas Ketua Pengarang akhbar berusia 95 tahun itu, K. Padmanabhan berkata, tunggakan gaji bulan Mac serta pampasan berjumlah RM1,363,677.10 masih belum dijelaskan.

Katanya, umpama ‘habis madu sepah dibuang’, nasib mereka juga sama seperti nasib 769 kakitangan Utusan Melayu (Malaysia Berhad) yang terpaksa berhutang untuk mengharungi kehidupan harian.

“Kami sebenarnya datang menyerahkan memorandum ini kepada Vell Paari sendiri dan mendapatkan temujanji untuk duduk bersama menyelesaikan isu ini secara kolektif namun difahamkan menerusinya setiausahanya bernama Madam Jeya, dia tidak senang untuk bertemu kami.

MGF23082019_TAMIL NESAN SERAH MEMORANDUM12
Ketua Editro Akhbar Tamil Nesan, K. Padmanaban bercakap kepada media ketika mengadakan demontrasi ketika hadir untuk menyerahkan memorandum kepada Datuk Seri S. Vell Paari berhubung tidak membayar pampasan pekerja-pekerja di Wisma E&C, Damansara Heights, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 OGOS 2019

“Kami telah mengajukan hasrat kami bahawa dia perlu menetapkan satu tarikh untuk berjumpa kami bagi mencari titik muktamad dalam soal tunggakan gaji dan pampasan.

“Kami beri dia tempoh seminggu, dan sehingga dia bersetuju jumpa kami, majlis ‘keramaian’ ini akan berlangsung di hadapan premis dia setiap minggu sebab kami sudah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan demi sesuap nasi,” katanya.

Hadir sama aktivis Parti Sosialis Malaysia, S. Arutchelvan.

Bekas pekerja akhbar itu membawa kan rentang yang tertera perkataan ’40 pekerja Tamil Nesan dibuang kerja tanpa pampasan, mana gaji kami’.

Sementara itu, Padmanabhan menyatakan kekecewaannya terhadap sikap Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya, mereka pernah berjumpa Kulasegaran selama lima minit untuk mengemukakan masalah gaji dan pampasan pada Mac lalu dan apa yang berlaku ialah pemimpin terus mengunci mulut.

“Setakat ini kami tidak nampak sebarang inisiatif dan tak tahu sama ada dia panggil Vell Paari.

“Kami gembira dengan tindakan lantas Kulasegaran panggil pengurusan Utusan Malaysia di Putrajaya untuk menyelesaikan masalah gaji kakitangan mereka yang juga sahabat rapat kami.

“Kenapa Kulasegaran tidak menunjukkan kesungguhan dan inisiatif sama memanggil dan memberi amaran kepada Vell Paari dalam isu sama yang kami sedang hadapi ini. Kami mahu Kulasegaran jelaskan apa yang mengekang atau menyebabkan beliau teragak-agak dalam hal ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi bekas kakitangan Tamil Nesan, Dhayalan Shanmugam berkata, beliau sudah penat dan kecewa bertemau dan merayu semua pihak, termasuk ahli politik, yang mengambil pendekatan berkecuali.

“Kami menjadi kakitangan yang begitu setia dan pak turut umpama kerbau dicucuk hidung kepada bekas majikan serta semua pemimpin politik yang memperalatkan kami atas alasan sebagai lidah komuniti India.

“Namun bagai habis madu sepah dibuang kami mungkin sudah tidak berguna untuk mereka sehingga tidak seorangpun yang mengendahkan permasalahan kami.

memo tamil nesan
Gambar yang dikongsi salah seorang wakil bekas pekerja menunjukkan bekas Ketua Jurufoto Tamil Nesan (Tengah) SM Sundar dan bekas Ketua Pengarangnya (Kanan sekali) K.Padmanabhan, menyerahkan memorandum di pejabat Vell Paari yang diterima dipercayai setiausaha Vell Paari di tingkat 2, Wisma E&C, Jalan Dungun Damansara Heights, Kuala Lumpur pagi Jumaat pada 23 OGOS 2019.

“Kami cuma tidak faham dan pelik kenapa Vell Paari ‘malu’ untuk bertemu kami, adakah dia takut atau tiada ‘mood’ atau apa yang kami lakukan sehingga mahu mengelak berunding untuk menyelesaikan tunggakan gaji kami,” keluhnya.

Menurut Dhayalan lagi, Vell Paari yang dianggap sebagai ahli keluarga selama ini tidak seharusnya menindas bekas kakitangan syarikat itu memandangkan kebanyakannya tidak berniat menjatuhkan maruah sebaliknya hanya menuntut gaji dan pampasan yang dijanjikan Februari lalu.

“Kami tidak mempunyai tenaga untuk berjuang atau memprotes di atas jalan, kami hanya memilih untuk berunding dengan Vell Paari secara aman untuk mendapatkan pampasan kami.

“Kami kecewa semasa menyerahkan memorandum itu kerana beliau diwakili seorang wanita yang menerima memo itu seolah tidak senang dengan kehadiran kami di premis itu malah langsung tidak mengendahkan penjelasan dan tuntutan kami yang harapkan temujanji bersama ‘bos’nya.

“Kami akan terus hadir di hadapan pejabat dia sehingga dia bersetuju bertemu kami untuk berunding tanpa pandang kami sebagai musuh sebaliknya layan kami sebagai manusia,” katanya.

Sebelum ini, bekas pekerja syarikat akhbar itu diberi surat pemberhentian kerja bertarikh 28 Januari 2019 oleh Vell Paari selepas akhbar yang memulakan pengeluaran pertama pada tahun 1924 itu ditutup 31 Januari lalu. – MalaysiaGazette