Home Ekonomi MGSB, 4 pengarah mengaku ambil wang tanpa lesen

MGSB, 4 pengarah mengaku ambil wang tanpa lesen

Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – MGSB Berhad dan empat pengarahnya mengaku bersalah mengambil wang daripada pendeposit tanpa lesen di bawah Seksyen 10 FSA dan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Mereka dibicarakan di bawah Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA).

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataannya berkata, Hakim Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5 juta kepada MGSB Berhad sementara pengarah-pengarahnya, Hisyamuddin Che Ali dan Ahmad Zalimi Mohd Ali masing-masing dihukum penjara dua tahun dan denda RM1 juta (enam bulan penjara jika gagal membayar denda).

Manakala Halimatun Saadiah Che Omar dihukum penjara selama satu tahun dan denda RM1 juta (enam bulan penjara jika gagal membayar denda).

Bagi pertuduhan di bawah seksyen 4(1) AMLA, MGSB Berhad didenda sebanyak RM288 juta, sementara pengarah-pengarahnya, Ahmad Zalimi Mohd Ali, Halimatun Saadiah Che Omar dan Nur Ain Aliana Mat Azmi masing-masing dihukum penjara dua tahun bagi setiap tiga pertuduhan dan denda sebanyak RM288 juta (satu tahun penjara jika gagal membayar denda).

Hisyamuddin Che Ali pula dijatuhi hukuman penjara dua tahun bagi setiap lima pertuduhan dan denda sebanyak RM298 juta (satu tahun penjara jika gagal membayar denda).

Kesalahan di bawah FSA dan AMLA akan dijalankan secara berasingan.

Orang ramai diingatkan supaya tidak menyimpan wang atau deposit dengan institusi yang tidak berlesen atau terlibat dengan sebarang bentuk skim cepat kaya bagi mengelakkan kehilangan wang mereka.

Senarai institusi yang dilesenkan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh Bank Negara Malaysia untuk menerima deposit boleh didapati di laman sesawang Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat berhubung dengan skim kewangan haram dan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia di Laman Sesawang Amaran Penipuan Kewangan (http://fraudalert.bnm.gov.my). – MalaysiaGazette