KUALA LUMPUR – MIC tiada sebarang masalah dengan penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik bahkan menghormatinya sebagai ilmuan agama terkemuka dunia.
Presidennya, Tan Sri S.A. Vigneswaran sebaliknya berkata, pihaknya tidak mahu Zakir menimbulkan sebarang konflik dan menyentuh sensitiviti bukan Islam di negara.
“Isu mengenai Dr Zakir Naik ini ialah bukan sebab kerajaan tak nak hantar dia balik, kita tiada masalah.
“Kita tak kisah, hantar atau tidak dia balik kita pun tak peduli. Kita hanya mahu dia tidak wujudkan masalah perkauman dan agama.
“Apa yang kita peduli, kita tak mahu dia mengkritik agama lain dan kaum lain, itu saja,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-73 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Sebelum ini dua menteri Kabinet iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, dan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran mahu penceramah bebas itu tidak lagi dibenarkan mengadakan ceramah dan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat hubungan kaum serta ketenteraman awam di negara ini.
Selain itu, dua menteri daripada DAP itu mendesak semua pihak khususnya kerajaan sendiri menghantar Zakir pulang ke negara asalnya, India.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengulangi pendirian beliau untuk tidak menghantar pulang Zakir ke negara asalnya kerana bimbang sekiranya pendakwah itu dibunuh di India nanti.
Vigneswaran juga tidak pernah membantah keputusan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sama ada mahu menghantar Zakir pulang atau sebaliknya.
“Kita hormat kalau dia seorang pendakwah yang baik. Kita tak mempersoalkan kepakaran beliau dalam agama Islam.
“Ini kerana agama ini suci kepada orang yang menganutnya, kerana kita dapat hidup aman di negara ini.
“Apa kita tahu kenyataannya disalah tafsir dan dia juga sudah minta maaf, cukuplah. Terpulang kepada kerajaan, kita bukan kerajaan,” katanya.
Katanya lagi, MIC tidak akan mempersoalkan Islam agama Persekutuan sebagai tanda berterima kasih kepada Raja-Raja Melayu dan orang Melayu yang memberikan kerakyatan kepada mereka sebelum merdeka.
“Negara ini sama ada kita suka atau tidak, kita berada dalam keadaan sangat aman dan kita boleh amalkan (agama)
“Ini kerana dalam Perlembagaan menyatakan agama Islam adalah agama Persekutuan dan lain-lain agama bebas diamalkan.
“Kita berterima kasih kerana Sultan dan orang Melayu memberikan kita kerakyatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette