TASEK GELUGOR – Keputusan Kerajaan untuk tidak menghantar pulang pendakwah Islam Dr Zakir Naik ke negara asalnya dibuat secara bersama dan mendapat persetujuan dalam Kabinet, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.
Beliau berkata, keputusan itu bukanlah keputusan peribadi oleh mana-mana pihak sebaliknya ia adalah keputusan kabinet.
“Kita tetap dengan keputusan kita sebab ini adalah keputusan Kabinet. Jadi saya rasa tidak ada apa yang perlu kita bincangkan. Kepada pihak yang tidak berpuas hati rujuklah kepada pihak yang berkenaan. Nak protes ni nak protes untuk apa.
“Lagi pula Dr Zakir ni adalah seorang pendakwah dan dia juga bukan rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun sebagai sebuah negara yang merasakan perlu untuk kita memberi jaminan tentang soal keselamatan, maka itulah tindakan yang diambil oleh menteri kabinet dan Kerajaan Malaysia untuk tidak menghantar dia pulang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Marzuki Yahya, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai segelintir pihak yang masih mahu kerajaan mengusir penceramah bebas dari India itu dengan menganjurkan demonstrasi sebagai tanda bantahan.
Ditanya sekiranya masih ada pihak yang tetap membantah keputusan itu, Marzuki yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkata itu adalah hak mereka.
“Kalau kita nak puaskan hati semua pihak, kita tak dapat puaskan hati semua orang. Saya rasa ini mungkin ada juga sebahagian daripada pihak-pihak yang cuba menangguk di air yang keruh,” katanya.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia tidak boleh mengusir Zakir kerana wujud ancaman bunuh terhadap penceramah itu.
Zakir didakwa kononnya membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat India dan Cina di Malaysia semasa ceramah di Kota Bharu, Kelantan sebelum ini sehingga mencetuskan desakan banyak pihak supaya dia dihantar pulang ke negara asalnya.
Selasa lepas, polis mengeluarkan arahan tidak membenarkan semua program berkaitan Zakir dianjurkan di seluruh negara atas faktor keselamatan kerana ia boleh menimbulkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini. – MalaysiaGazette