Home Seni Hidup Ikan buntal berpotensi jadi produk pelancongan Spaoh

Ikan buntal berpotensi jadi produk pelancongan Spaoh

SPAOH (Sarawak) – Ikan buntal (xenopterus naritus) berpotensi menjadi makanan untuk dieksport dan produk pelancongan Spaoh, sebuah daerah kecil di bahagian Betong, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah.

Beliau berkata Batang Saribas terkenal dengan ikan buntal semasa musim bertelur dari Jun hingga September.

“Buntal adalah ikan yang sangat istimewa dan memerlukan penyediaan rapi untuk membuang racun yang membawa maut dalam saluran darah dan membran telurnya.

“Bagaimanapun, masyarakat setempat di sini boleh melakukannya dengan begitu baik. Di Jepun, ikan ini menjadi hidangan istimewa dan orang sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk menikmatinya di restoran mewah,” katanya semasa merasmikan Pesta Buntal di Kampung Manggut di sini hari ini.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah mencadangkan supaya satu kajian dijalankan bagi memastikan kelangsungan hidup ikan berkenaan.

“Kita mesti tahu di mana kawasan ikan ini bertelur di sepanjang Batang Saribas supaya kita tidak mengganggu tempat itu atau mengeluarkan pasir dari situ.

“Jika kita boleh melakukannya dan dapat memastikan bekalan jangka panjang, kita boleh menjadikan ikan ini sebagai makanan yang unik dan sebuah produk pelancongan,” katanya.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada jawatankuasa festival, yang kemudiannya ditambah sebanyak RM30,000 oleh Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat dan RM25,000 oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Saribas Mohammad Razi Sitam.- BERNAMA