JOHOR BAHRU – Tiupan angin yang kuat sejak beberapa hari ini menyebabkan kebakaran hutan di Kampung Pekajang di Iskandar Puteri, dekat sini, merebak ke tempat baharu iaitu melibatkan seluas 98 hektar setakat hari ini berbanding hanya 16 hektar keluasan kebakaran asal pada Jumaat (23 Ogos).
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata pihaknya bertungkus-lumus 24 jam untuk menanganinya dan berhasil memadamkan sebanyak 45 peratus atau 44 hektar kawasan kebakaran.
Operasi pemadaman dilakukan oleh seramai 79 anggota termasuk pegawai kanan dari 10 buah balai di kawasan Zon 1 Johor dan sebuah balai dari kawasan Zon 2 Johor.
Selain itu, sebanyak lima ‘water tanker’ berkapasiti 20,000 liter digunakan untuk mengangkut air yang diambil dari pili bomba berdekatan untuk memadamkan kebakaran tersebut.
Ketika dihubungi Bernama di sini hari ini, beliau berkata sumber air itu terpaksa diambil dari pili bomba berdekatan kerana bekalan air sungai atau parit sedia ada yang terdapat di kawasan itu tidak dapat menampung kegunaan untuk operasi pemadaman tersebut.
“Hari ini hujan gerimis sahaja dan ia tidak begitu memberi kesan kepada operasi pemadaman. Berdasarkan keadaan semasa, dijangka pemadaman akan mengambil masa selama empat hari.
“Namun sekiranya teknik total ‘flooding’ (membanjirkan keseluruhan kawasan kebakaran) dapat disiapkan dengan segera, maka terdapat kemungkinan kebakaran dapat dipadamkan dalam masa yang terdekat,” katanya.
Yahaya berkata ada pihak mencadangkan agar aktiviti pembenihan awan dilakukan di kawasan itu bagi membantu operasi pemadaman bomba dan cadangan itu diutarakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad.
“Susulan cadangan itu, wakil dari Jabatan Meteorologi Malaysia ada hadir ke lokasi kebakaran untuk membuat pemerhatian ke atas pembentukan awan (pembenihan awam) namun keputusannya (keberhasilan) adalah (mungkin) 50 peratus berjaya dan 50 peratus tidak berjaya disebabkan kelembapan awan yang rendah,” katanya.
Kebakaran bermula pada petang Jumaat itu dipercayai akibat cuaca kering di negeri ini.
— BERNAMA