Home Politik Kementerian digesa siasat kes Mazlan

Kementerian digesa siasat kes Mazlan

Norul Haszarul Abu Samah

KUALA LUMPUR – Pihak polis dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim digesa menyiasat dakwaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Mazlan Bujang yang dikatakan menganggu tugas penjawat awam Majlis Perbandaran Pasir Gudang baru-baru ini.

Jelas Norul Haszarul Abu Samah yang juga Ketua Armada Johor yang digantung tugas berkata ini kerana alasan yang digunakan oleh Mazlan tidak meyakinkan.

“Kita bimbang dalihan YB Mazlan bahawa beliau hanya meminta untuk membuka ‘car wash, store atau bengkel’ dan bukannya merujuk kepada kilang-kilang toksik akan memakan dirinya apabila lebih banyak bukti menyusul selepas ini.

“Tidak mungkin menteri pusat yang bertanggungjawab dalam hal pencemaran mengarahkan kedai-kedai kecil yang tiada kaitan dengan pencemaran menghentikan operasi.

“YB Mazlan harus berhenti menggunakan dalihan ini kerana ini bukan perkara yang boleh dibuat main. Ini adalah risiko nyawa penduduk Pasir Gudang.

“Sehubungan itu, saya menyeru pihak polis dan pihak kementerian menyiasat dan mengemukakan hasil siasatan kepada rakyat dengan kadar yang segera untuk kepentingan semua pihak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa membuat membuat laporan polis berhubung tuduhan mengugut seorang penjawat awam untuk tidak menutup kilang yang dipercayai terbabit dengan kejadian pencemaran di Pasir Gudang baru-baru ini.

Mengaku rakaman suara yang tular dalam Facebook adalahnya dirinya namun Mazlan menegaskan beliau hanya meminta penjawat awam yang membuat laporan polis terdahulu pada 22 Ogos untuk membuat pertimbangan membuka semula bengkel dan ‘car wash’ yang diarahkan kerajaan pusat ditutup.

Mengulas lanjut, Norul Haszarul menyifatkan adalah tidak logik untuk Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim mengeluarkan arahan menutup premis yang tidak ada kaitan dengan punca pencemaran.

Rakyat juga tambahnya pasti yakin arahan Mazlan iu adalah berkenaan kilang-kilang yang mengeluarkan sisa toksik kimia yang membahayakan nyawa rakyat.

“Rakyat tidak akan percaya sekiranya menteri mengeluarkan arahan untuk menutup ‘car wash, store atau bengkel’ seperti yang disebut YB Mazlan di depan pemberita selepas membuat laporan polis semalam,” tambahnya.

Terdahulu beliau memaklumkan tujuannya mengeluarkan kenyataan meskipun digantung tugas adalah kerana menganggap isu ini mustahak dan berkaitan dengan ketelusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain hak penjawat awam dan risiko nyawa rakyat Pasir Gudang. -MalaysiaGazette