KUALA LUMPUR – Sikap Kementerian Pendidikan yang tidak tegas hanya akan menyebabkan lebih banyak NGO-NGO muncul menentang pelaksanaan Jawi.
Menterinya, Dr. Maszlee Malik dilihat sering berdolak dalih dalam kenyataan mengakibatkan bantahan terhadap keputusan kerajaan disuarakan dengan lantang.
Justeru jika sikap itu berterusan, Ketua Dewan Pemuda Ikatan Bangsa Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, lebih banyak NGO yang akan bertindak menentang dasar-dasar kerajaan.
“Maszle banyak berdolak dalih, kementeriannya agak lemah terpaksa mengikut rentak NGO-NGO dan sebelum ini Dong Zong.
“Kita lihat keduanya, kalau kementerian tidak firm (tegas) banyak lagi NGO akan ‘naik kepala’ dan kita tidak mahu kerajaan didominasi oleh NGO-NGO,” katanya ketika sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan NGO yang dikenali SEKAT yang mengugut kerajaan untuk mengadakan ‘Hari Ponteng Sekolah’ sekiranya pelaksanaan tulisan Jawi tidak ditunda kementerian.
Tambah Shahir, kesilapan terbesar KPM adalah memberi kuasa kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menentukan pelaksanaan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) perlu atau tidak.
“Sebenarnya kerajaan patut buat pendirian yang jelas mengenai perkara ini dan tidak patut beri kuasa kepada PIBG. Kalau begitu kita akan lihat 10 tahun akan datang akan ada yang yang tidak belajar dan belajar Jawi dan di situ perpaduan kaum akan renggang,” katanya lagi.
Untuk rekod, seramai 12 pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil sebelum ini menolak keputusan kementerian memperkenalkan tulisan jawi .
Pertubuhan dipimpin Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mendakwa, pengenalan tulisan khat bagi murid di dua aliran sekolah terbabit tidak bertepatan keperluan sebenar pembelajaran Bahasa Melayu.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: