KUALA LUMPUR – Kegagalan sistem Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini dikaitkan dengan dakwaan ada sindiket yang mengambil kesempatan membawa masuk secara haram kira-kira tiga juta warga China ke negara ini.
Dakwaan itu tular di media sosial sejak kebelakangan ini malah ada gambar sekumpulan warga China memegang beg seolah-olah berada di KLIA semasa kejadian.
Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam satu kenyataannya hari ini menganggap dakwaan itu disebarkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
“Semasa sistem Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) di KLIA mengalami ganguan, proses pemeriksaan kemasukan warga asing oleh Jabatan Imigresen dilakukan secara manual dan semua pelawat asing perlu mematuhi semua syarat serta mengikut Standard Operating Procedure (SOP) pemeriksaan pelawat asing.
“Selain itu, semua langkah keselamatan turut dipertingkatkan termasuk melakukan pemantauan berterusan oleh pasukan pemantau dan juga penguat kuasa di balai ketibaan dan perlepasan antarabangsa serta kawasan satelit,” katanya lagi.
MenurutĀ Khairul Dzaimee, sistem di KLIA telah mula beroperasi secara berperingkat mulai semalam dan semua proses pemeriksaan masuk pelawat asing kini berjalan seperti biasa.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu tentang kesahihan sesuatu berita sebelum membuat perkongsian dan membuat ia tular.
MAHB dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu memaklumkan masalah teknikal yang berlaku sejak 21 Ogos lalu disebabkan oleh kegagalan rangkaian.
Kemudian semua penumpang yang meneruskan penerbangan dinasihati supaya datang empat jam lebih awal ke KLIA untuk menyelesaikan segala proses pendaftaran di kaunter secara manual mengelak masalah kelewatan saat akhir penerbangan.
Insiden yang pertama kali berlaku dalam sejarah penubuhan KLIA mengejutkan rakyat sehingga ada yang menyatakan kebimbangan mengenainya.-MalaysiaGazette