KUALA LUMPUR – Kerajaan masih lagi menilai merit dan kebolehlaksanaan cadangan daripada Maju Holdings untuk mengambil alih PLUS.
Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, cadangan yang melibatkan pengurangan kadar tol yang ketara kelihatan menarik.
Bagaimanapun, kerajaan belum membuat keputusan mengenainya atau apa-apa cadangan lain mengenai pengambilalihan mana-mana lebuh raya bertol.
Katanya, kementeriannya akan membentangkan laporan mengenai “The Way Forward for Toll Roads in Malaysia’ pada awal bulan depan, yang akan berasaskan kepada laporan akhir yang disediakan oleh perunding bebas pada Januari lalu.
“Hanya selepas keputusan Kabinet dibuat, kerajaan akan mempertimbangkan semua cadangan mengenai pengambilalihan lebuh raya bertol di negara ini, termasuk tawaran Maju Holdings untuk PLUS,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beberapa pihak berminat untuk mengambil alih PLUS yang dikuasai oleh Khazanah Nasional melalui UEM Group Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak beberapa tahun lalu.
Khazanah menguasai 51 kepentingan dalam PLUS dan bakinya KWSP.
PLUS adalah pemilik lebuh raya terbesar di negara ini. – MalaysiaGazette