KUALA LUMPUR – Minggu lalu tersebar cakap-cakap yang Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye, 73, telah diminta mengosongkan pejabatnya pada 20 Ogos lalu.
Perkembangan itu agak mengecewakan beberapa pihak yang membangkitkan persoalan mengapa Lam Thye perlu meninggalkan NIOSH sedangkan kontrak beliau sepatutnya tamat pada 20 September ini.
Difahamkan Pengerusi NIOSH itu juga masih mempunyai program termasuk membentangkan kertas kerja di China sebelum mengakhiri perkhidmatannya namun ia terpaksa dibatalkan kerana kontraknya telah ditamatkan sebelum tiba masanya.
Desas-desus mengatakan pengganti Lam Thye telah pun ada dan menunggu masa untuk memulakan tugas.
Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran ketika ditanya siapa pengerusi NIOSH yang baharu enggan mengulas sebaliknya berkata: “Tanya Tan Sri.”
Beliau juga enggan mengadakan sidang media yang sepatutnya diadakan selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kali ke-22 (COSH 2019) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Lam Thye turut hadir pada majlis tersebut.
Bagaimanapun, usaha media untuk mendapatkan komen Lam Thye tidak berjaya apabila pegawainya memaklumkan bahawa pengerusi NIOSH itu tidak akan membuat sebarang ulasan kerana menghormati menteri.
Lam Thye dilantik pengerusi NIOSH pada 1995 hingga kini. Sebelum itu beliau merupakan Ahli Lembaga NIOSH sejak 1992. – MalaysiaGazette