KAJANG – Majlis Profesor Negara (MPN) mahu membuat kajian bagi melihat semula takrif kemiskinan yang diguna pakai negara selama ini bagi mengetahui sama ada masih relevan atau tidak.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPN Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata pihaknya melihat keperluan segera untuk melakukan kajian itu bagi mendapatkan maklumat mengenai perbezaan kadar kemiskinan tegar yang direkodkan di negara ini berbanding kadar direkodkan oleh penganalisis dari luar negara.
“Kami juga akan berbincang dengan Jabatan Perangkaan untuk melihat angka-angka yang kita kutip, bagaimana ia dilakukan sehinggakan selama ini kita mempunyai 0.4 peratus, tapi orang luar masuk 15 peratus.
“Kami sendiri pun akan buat tinjauan dan kerja lapangan mendapatkan bukti empirikal yang lebih nyata lagi supaya apa saja isu yang dibangkitkan kita akan ada sandaran dari segi data-data empirikal dan sebagainya,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Pra Kongres Profesor Negara di sini hari ini.
Sebelum ini, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Prof Philip Alston mendakwa Malaysia mempunyai “kemiskinan yang ketara”, dan kadar kemiskinan sebenar adalah kira-kira 15 peratus.
Bagaimanapun Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kadar kemiskinan yang direkodkan pada 0.4 peratus itu dikira mengikut standard yang diterima antarabangsa berdasarkan kepada edisi kedua ‘Canberra Group Handbook on Household Income Statistics (2011)’ yang diterbitkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Raduan berkata kerajaan juga perlu menerima hakikat bahawa proses pembandaran yang terlalu pesat turut mengakibatan fenomena kemiskinan bandar, yang antara lain akan turut diberi perhatian oleh MPN dalam kajian-kajiannya. – BERNAMA