Home Nasional Najib boleh cabar Gopal Sri Ram

Najib boleh cabar Gopal Sri Ram

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini membenarkan rayuan Datuk Seri Najib Razak agar Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak mengetuai pasukan pendakwaan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan penggubahan wang haram.

Selain bekas perdana menteri itu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang turut menghadapi tuduhan tersebut juga memohon dalam proses rayuan tersebut.

Seramai tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Lau Bee Lan dan Datuk Has Zanah Mehat memutuskan terdapat merit dalam rayuan yang difailkan Najib dan peguamnya, Muhammad Shafee.

Hakim Hasnah menjelaskan sifat dan bidang kuasa semakan kehakiman adalah berbeza serta berasingan.

“Isu berhubung pertindihan permohonan tidak berbangkit di sini. Terdapat isu yang perlu dibincangkan dan ia tidak remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah,” katanya dalam penghakiman.

Oleh yang demikian, mahkamah telah menetapkan pengurusan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini esok.

Najib serta Muhammad Shafee telah memohon perisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan Sri Ram dan memohon perintah melarang Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes mereka termasuk berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Gopal Sri Ram.

Bagaimanapun pada 7 Ogos lepas, panel tujuh anggota hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kes perbicaraan 1MDB yang dihadapi Najib.

Najib dan Muhammad Shafee merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 Februari tahun ini yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman dalam mencabar pelantikan Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes mereka.

Muhammad Shafee mewakili Najib selain mewakili dirinya sendiri dalam prosiding kes itu hari ini. –MalaysiaGazette