Home Utama Pas sudah nasihat Dr Zakir Naik agar berhati-hati

Pas sudah nasihat Dr Zakir Naik agar berhati-hati

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Abdul Hadi Awang bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan barisan kepimpinan bergambar kenangan pada sidang media Pertemuan Gagasan Sejahtera di Hotel Zenith Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 26 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik sudah dinasihatkan agar berhati-hati dalam memberikan ceramah di negara ini oleh Pas.

Menurut presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, nasihat itu diberikan bagi Zakir memfokuskan kepada isu dakwah dan membiarkan isu politik.

“Bila isu ini timbul, biar kita (Pas) tangani, kerana parti politik yang memainkan isu ini, bukan beliau, beliau hanya beri jawapan bagi pihak diri dia,

“Zakir perlu fokus kepada dakwah bukan hal politik, dakwah secara akademik,” katanya dalam sidang media mesyuarat majlis pimpinan Gagasan Sejahtera, di Zenith Hotel, hari ini.

Hadir sama Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Hadi menjawab pertanyaan media mengenai kenyataan Presiden MIC, Tan Sri S. A Vigneswaran yang menyatakan rasa sedih mereka atas sikap Pas dalam menguruskan isu Zakir Naik.

Vigneswaran semalam berkata, Pas sepatutnya memberikan nasihat kepada Zakir agar menghormati bangsa lain di negara ini.

Dalam pada itu, Pas berkata bukan tugas Zakir untuk menjawab segala fitnah yang dilemparkan kepada beliau, dan Hadi berkata itu adalah tugas Pas untuk menjawab segala perkara itu termasuk tohmahan daripada pihak DAP.

“Kita kena sedar isu beliau telah dipolitikkan oleh DAP, bukan beliau (Zakir) yang politikkan.

“DAP yang mempolitikkan sebab itu biar kita yang jawab (isu ini) bukan Dr Zakir yang kena jawab,” katanya lagi.

Pada 3 Ogos lalu, Zakir dalam ceramahnya di Kota Bharu dilaporkan membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di negara ini sehingga mengundang rasa kurang senang pelbagai pihak. -MalaysiaGazette