KUALA LUMPUR – Jumlah pelupusan ekuiti tempatan oleh pelabur asing menurun kepada RM372.8 juta minggu lalu berbanding RM598.1 juta minggu sebelumnya.
MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research (MIDF Research) berkata, pelabur asing menjual RM99.7 juta pada hari Isnin meskipun Fitch Ratings menyemak semula unjuran pertumbuhan kepada 4.6 peratus berbanding 4.2 peratus.
Selain itu, dari aspek luaran pula apabila Presiden Donald Trump berkata, Amerika Syarikat sedang berunding dengan China tetapi tidak bersedia untuk perjanjian.
Firma penyelidikan itu berkata, aktiviti jualan asing perlahan keesokan harinya kepada RM54.6 juta selepas Amerika Syarikat merancang untuk melanjutkan had 90 hari lagi pengecualian kepada perniagaan Amerika Syarikat yang menjalinkan kerjasama dengan Huawei Technologies Co.
Momentum aliran keluar bersih meningkat pada hari Rabu untuk mencecah kepada RM126.9 juta selepas pelabur-pelabur asing bersiap sedia menjelang minit mesyuarat Julai Rizab Persekutuan.
MIDF Research menambah, jualan bersih asing susut pada hari Khamis kepada RM49.1 juta selepas minit mesyuarat Julai Rizab Persekutuan menunjukkan penurunan kadar sebagai jaminan bagi menangani perang perdagangan.
“Jumaat terus menyaksikan kejatuhan aktiviti jualan bersih asing ke tahap yang lebih rendah iaitu RM42.6 juta, bertepatan dengan kenaikan 0.4% dalam bursa tempatan.
“Ini selari dengan rakan serantau lain, iaitu Indonesia dan Taiwan menjelang Jackson Hole oleh Jerome Powell,” katanya.
MIDF berkata, dengan berbaki satu minggu lagi sebelum berakhirnya bulan Ogos, Malaysia telah menyaksikan aliran keluar bersih asing sebanyak RM142.1 juta.
Dari tahun ke tahun, aliran keluar bersih asing dari Malaysia merekodkan sebanyak RM7.02 juta, kira-kira 60 peratus daripada aliran keluar bersih asing.
Berdasarkan penyertaan pula, pelabur asing menyaksikan penurunan sebanyak 8.5% dalam nilai purata dagangan harian (ADTV) kepada RM899 juta, di bawah RM1 bilion – paras ADTV terendah dalam tempoh tujuh minggu. – MalaysiaGazette