Home Politik PH tidak dijangkiti gangren politik

PH tidak dijangkiti gangren politik

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melambaikan tangan kepada orang para media selepas pada 'Persidangan Pelancongan Sedunia 2019' di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan Pakatan Harapan (PH) sedang menuju keruntuhan disebabkan oleh “gangren politik” akibat perbalahan dalaman seperti yang didakwa oleh Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tegas Perdana Menteri, kerajaan PH masih lagi kukuh malah barisan Kabinetnya sendiri masih mampu bersama-sama membuat keputusan termasuk yang melibatkan isu-isu kritikal dan sensitif.

“Awak selalu nampak saya berjalan sama ada seorang diri atau tidak tetapi di mana sahaja saya berjalan, mesti ada orang yang mahu bersalam dan melahirkan sokongan mereka.

“Saya nafikan (dakwaan Zahid) kerana dalam parti sendiri dan dalam Kabinet, kami masih lagi bersatu dan bersama-sama membuat keputusan walaupun dalam isu-isu kritikal,” katanya sambil bergurau.

Semalam, Zahid dalam ucapan merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-73 mengatakan, kerajaan sekarang sedang bertungkus-lumus untuk kekal relevan apabila Pengerusi Pakatan Harapan, Dr. Mahathir terpaksa bersendirian kerana PKR di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP di bawah Lim Kit Siang sedang aktif merangka strategi untuk menentang kepimpinan beliau. – MalaysiaGazette