Home Politik Sampai sekarang PH gagal buktikan pengundi hantu

Sampai sekarang PH gagal buktikan pengundi hantu

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Walaupun Pakatan Harapan (PH) sudah membentuk kerajaan hampir 16 bulan namun isu lampu terpadamĀ  (blackout) semasa proses pengiraan undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) masih gagal dibuktikan kebenarannya.

Menurut Datuk Seri Najib Razak, isu blackout yang dikaitkan dengan penglibatan Jabatan Perdana Menteri (JPM) membawa masuk 40,000 pengundi hantu dari Sabah dan Sarawak sejak 25 April 2013 masih gagal dibuktikan sampai sekarang.

“Ini isu besar yang berjuta rakyat Malaysia pernah percaya bulat-bulat. Hari ini, PH sudah hampir 16 bulan memerintah. Nak tanya berapa pengundi hantu dan tempat mengundi yang mengalami blackout semasa PRU telah berjaya dikesan?

“Sekarang PH sudah lama ambilalih semua jentera kerajaan termasuk pihak polis, pihak kastam dan SPR (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Kalau tidak dapat kesan puluhan ribu pengundi hantu atau berpuluh lokasi blackout pun, takkan satu atau dua orang pengundi hantu dan lokasi blackout pun tak dapat dicari?” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya hari ini.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Mei 2013 mendedahkan penglibatan JPM di bawah pentadbiran BN membawa masuk 40,000 pengundi ragu dari Sabah dan Sarawak sejak 25 April 2013.

Menurut Anwar, sebanyak 16 penerbangan sehari dibuat dari Kuching, Kota Kinabalu, Sandakan, Miri dan Sibu menggunakan pesawat jenis Jumbo dan C130 Hercules yang ditempah khas.

Berdasarkan pengiraan Anwar, seramai 4,500 dibawa masuk ke KLIA setiap hari. Penerbangan dibuat kecuali 1 Mei dan bermula 25 April 2013.

Menurut Anwar, ini bermakna 40,000 individu ragu dan masih memasuki melalui KLIA. – MalaysiaGazette