Home Politik Ikut logik, Warisan yang layak

Ikut logik, Warisan yang layak

Datuk Liew Vui Keong

PETALING JAYA – Parti Warisan Sabah (Warisan) lebih layak bertanding di Parlimen Kimanis sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil.

Pengerusi Tetapnya, Datuk Liew Vui Keong berkata, ini kerana kekalahan tipis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu menunjukkan Warisan mendapat sokongan kuat pengundi di parlimen itu.

Namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menyerahkan kepada presiden parti, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk membuat keputusan sekiranya terdapat parti komponen Pakatan Harapan (PH) lain yang turut berminat bertanding kelak.

“Warisan layak bertanding di Kimanis walaupun kalah dalam PRU14 namun kita serah kepada presiden parti untuk menentukan calon.

“Jika ada parti komponen PH lain yang berminat bertanding, terserah kepada kedua-dua presiden parti untuk berbincang.

“Tapi secara logiknya, Warisan yang layak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat lawatan di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu meletak calonnya berikut semakin memiliki pengaruh yang besar dan ahli yang ramai di negeri itu.

Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan Datuk Seri Anifah AMan pada PRU-14 kerana didapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya berkenaan.

Hakim Lee Heng Cheong membuat keputusan itu selepas mendapati kesilapan pada semua kotak undi yang mempunyai unsur manipulasi, termasuk kertas undi tambahan yang melanggar undang-undang pemilihan.

Bekas calon Warisan pada PRU14, Datuk Karim Bujang memfailkan petisyen pada 18 Jun tahun lalu bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan menamakan Anifah sebagai responden pertama dan pegawai pilihan raya untuk Kimanis serta SPR sebagai responden kedua dan ketiga.

Peguam Anifah, Tengku Fuad Ahmad dalam maklum balasnya sebelum ini berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan berkenaan di Mahkamah Persekutuan. – MalaysiaGazette