Home Nasional Kakitangan KKM juga tidak terkecuali jika merokok di kawasan awam – Dr...

Kakitangan KKM juga tidak terkecuali jika merokok di kawasan awam – Dr Dzulkefly

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bulanan dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan Kementerian Kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 27 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertegas akan mengambil tindakan terhadap mana-mana kakitangannya yang didapati bersalah merokok di tempat awam.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, larangan merokok adalah termaktub kepada semua rakyat Malaysia dan kakitangan KKM tidak terkecuali dalam hal ini.

Dzulkefly berkata, aspek pendidikan harus diutamakan kepada mana-mana pesalah yang didapati melanggar larangan itu.

“Saya mengambil pendekatan pendidikan kepada pesalah merokok dan bukannya pendekatan punitif dan secara paksa supaya ketika kita mengangkat agenda ini kalau tidak dapat berhenti merokok pun tapi mereka menghormati larangan ini dan tidak merokok di tempat awam.

“Kami yakin kalau kita sedari perkara ini kita harapkan mereka bersama dalam program ‘i am quit’.

“Itu nada dan pendekatan saya. Bukan untuk mengancam, ini cara lebih baik dari dilihat secara punatif,” katanya dalam sidang media sempena majlis perjumpaan bulanan di kementeriannya, hari ini.

Menurut Dzulkefly, bagaimanapun pendekatan itu tidak membolehkan semua kakitangan KKM kebal daripada melakukan kesalahan.

Ujarnya, mana-mana penjawat awam, termasuk kakitangan KKM jika disabitkan kesalahan merokok di tempat awam, hukumannya sama seperti orang awam.

Malah mereka boleh dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib, hukuman tatatertib boleh dikenakan kepada mereka.

Kempen larangan merokok dalam premis makanan akan dikuatkuasakan pada Januari tahun depan.

Pada 1 Januari lalu, semua premis makanan diwartakan sebagai tempat larangan merokok selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 mana-mana individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Manakala mengikut Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, semua pemilik, pengusaha atau tuan punya permis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.

Untuk rekod, sebanyak 129,180 premis telah diperiksa dengan notis amaran sebanyak 30, 689 telah dikeluarkan KKM sehingga kini. – MalaysiaGazette