Home Nasional PBB jangan campuri urusan perniagaan di Malaysia – Redzuan

PBB jangan campuri urusan perniagaan di Malaysia – Redzuan

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mencuba mesin imbasan passport semasa mengadakan lawatan kerja ke Datasonic Technologies Sdn Bhd di Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 27 OGOS 2019

PETALING JAYA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak sewajarnya mencampuri urusan perniagaan dalam negara termasuk hasrat Malaysia untuk membangunkan kereta terbang nasional.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menegaskan, badan dunia itu sepatutnya kekal fokus kepada matlamat penubuhannya dan tidak mencampuri hal ehwal perniagaan negara anggotanya.

“Kita terbuka untuk menerima pandangan. PBB mungkin ada pandangan mereka.

“Normal bagi negara barat mahu memperkecilkan negara membangun untuk maju ke hadapan dan mereka fikir boleh mendominasi industri.

“Saya fikir mereka patut mengekalkan apa yang terbaik bagi mereka sebagai PBB (keamanan) dengan tidak melibatkan diri dalam perniagaan di negara ini,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Datasonic Technologies Sdn Bhd di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan pelapor khas PBB, Prof Philip Alston semalam bahawa usaha mewujudkan kereta terbang hanya akan membazirkan sumber dan masa untuk Malaysia.

Wakil PBB itu berkata, kereta terbang tidak praktikal di Malaysia kerana negara ini kerap dilanda ribut.

Malah katanya, penggunaan kereta terbang akan menggunakan terlalu banyak bahan api fosil yang menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Mohd Redzuan juga menegaskan, kereta terbang berkenaan bukan inisiatif kerajaan sebaliknya inisiatif swasta yang mempunyai pelaburan besar kepada negara.

“Kita tak boleh halang sesiapa yang mahu terlibat dalam industri (kereta terbang) walaupun ia bermula dengan hobi.

“Kita dalam kerajaan sudah cukup sensitif untuk mewujudkan suasana itu sama ada ia berdaya maju, bergantung kepada skop.

“Kalau kita tengok dalam pelbagai industri, Malaysia adalah lokasi terbaik di dunia. Keseluruhan ekosistem industri itu sendiri, saiznya AS$500 bilion seluruh dunia.

“Sektor sangat besar (potensi) yang kita patut terlibat dan kita patut beri sokongan,” katanya.

Katanya lagi, Malaysia akan terus memberi sokongan kepada industri baharu seperti kereta terbang berkenaan dengan memperkenalkan pelbagai insentif untuk menarik pelabur datang ke Malaysia.

“Kerajaan Malaysia akan melibatkan diri setakat dalam perniagaan tapi kita akan sediakan persekitaran yang boleh beri rangsangan, insentif mungkin supaya industri boleh berkembang maju.

“Hari ini kita boleh lihat malah China sendiri boleh melangkaui yang mereka jangkakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette