Home Dunia Penulis Australia ditahan kerana mengintip

Penulis Australia ditahan kerana mengintip

Penulis Australia kelahiran China Yang Henjung ditahan di China atas dakwaan mengintip.

SYDNEY- Seorang penulis warga Australia telah ditahan di China atas dakwaan melakukan intipan, kata kerajaan Australia di tengah-tengah peningkatan ketegangan di antara negara tersebut dengan rakan dagang terbesarnya.

Yang Hengjun dilahirkan di China dan pernah berkhidmat sebagai diplomat di negara tersebut kini menjadi wartawan dalam talian dan blogger ditahan di Guangzhou pada Januari lalu dan kemudiannya dipindahkan ke Beijing.

Menteri Luar Australia, Marise Payne dalam satu kenyataan berkata, Yang ditahan kerana disyaki melakukan intipan.

Intipan atau risikan boleh dijatuhkan hukuman mati di China.

“Dr. Yang telah ditahan di Beijing dalam keadaan kasar dan masih belum didakwa selepas lebih tujuh bulan,” katanya.

Setakat ini masih tiada maklum balas daripada Kementerian Luar China manakala Kedutaan China di Canberra juga enggan memberi komen.

China juga menghalang Yang bertemu dengan peguam atau ahli keluarganya sejak ditahan, kata Payne.

Bagaimanapun, pegawai-pegawai Kedutaan Australia berjaya melawat Yang sebanyak tujuh kali sejak Januari lalu.

Peguam Yang di Australia, Robert Stary enggan memberikan komen.

Yang, 53, atau nama betulnya Yang Jun telah ditahan di China ketika menunggu pertukaran penerbangan selepas terbang dari New York.

Dalam pada itu, seorang ahli akademik di University of Technology di Sydney, Feng Chongyi berkata, tuduhan terhadap sahabatnya itu adalah sangat serius.

“Ianya sangat tidak menyakitkan hati kerana mereka tidak mampu menunjukkan sebarang bukti kerana dakwaan-dakwaan tersebut bermotifkan politik,” katanya kepada Reuters.

Penahanan Yang berlaku ketika Beijing bertungkus-lumus menghalang protes anti kerajaan di Hong Kong.

“China sedang mencari jalan untuk menghalang usaha ke arah demokrasi dan ini merupakan mesej jelas menghalang usaha-usaha tersebut,” kata penganalisis di Pusat Dasar Siber Antarabangsa, Alex Joske. – Agensi

+ posts