KUALA LUMPUR – Tular sekeping gambar ‘perjumpaan’ antara presiden komponen Barisan Nasional iaitu UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran; dan MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong malam tadi.
Sumber MalaysiaGazette memberitahu, ketiga-tiga pimpinan tertinggi ini telah mengadakan perbincangan dan kemudian sebulat suara bersetuju untuk sedikit perubahan jawatan dalam komponen BN ketika ini yang diterajui Zahid selaku Pengerusi.
Masing-masing, MIC dan MCA telah bersetuju dengan cadangan supaya jawatan Setiausaha Agung BN diberikan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang sebelum ini merupakan mantan Naib Presiden UMNO.
Dengan keadaan politik negara yang semakin meruncing, jawatan yang bakal dipertanggungjawabkan kepada Hishammuddin itu akan menjadi satu cabaran untuk menjadikan komponen BN sebagai pembangkang lebih ‘kuat dan efektif’ berbanding sebelum.
Malah kata sumber itu, Hishammuddin mampu menggalas tanggungjawab tersebut apatah sudah memiliki pengalaman serta kepakaran dalam arena politik arus perdana untuk puluhan tahun selama ini.
Sebelum ini, selepas kekalahan kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Hishammuddin yang merupakan Ahli Parlimen Semborong telah mengumumkan dirinya untuk tidak bertanding sebarang jawatan dalam Umno di peringkat pusat pada pemilihan parti lepas.
MalaysiaGazette kemudian menghubungi kedua-dua Presiden MIC dan MCA namun hanya berjaya mendapat respon daripada Vigneswaran pada masa ini.
Ketika ditanya tentang pengesahan berita pelantikan serta intipati perbincangan malam, Vigneswaran enggan mengulas dengan terperinci sebaliknya memberikan kuasa itu kepada Zahid untuk melakukan rombakan tersebut.
Bagaimanapun, kata Vigneswaran yang juga merupakan Yang Dipertua Dewan Negara, beliau dan Ka Siong selaku Presiden parti masing-masing sebenarnya mengalu-alukan berita itu.
“Pengerusi BN akan mengulas dengan lebih lanjut malah lantikan ini akan menga,bil tempat mengikut perlembagaan parti seperti yang termaktub.
“Biar Zahid membuat keputusan dan rombakan yang sepatutnya tentang lantikan ini, bagi kami kita sentiasa mengalu-alukan keputusan ini,” katanya ringkas.
Sebelum ini, jawatan Setiausaha Agung BN yang dipegang Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sejak Oktober tahun lalu tidak diperakukan dengan sah mengikut kepada Perlembagaan parti tersebut.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor masih lagi menyandang jawatan berkenaan sejak tahun 2009. – MalaysiaGazette