GOMBAK – Perkhidmatan sewa motosikal e-hailing atau gojek yang bakal dilaksanakan tidak boleh dilihat hanya membuka peluang pekerjaan kepada golongan ‘mat motor’.
Sebaliknya, perkara utama yang perlu difikirkan ialah tahap keselamatan penumpang yang akan menggunakan khidmat kenderaan dua roda berkenaan, kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Malah, katanya, langkah kerajaan membenarkan gojek beroperasi di negara ini merupakan satu tindakan jangka pendek yang belum tentu memberi manfaat kepada golongan muda untuk jangka masa panjang.
“Saya rasa pada prinsipnya dari dulu lagi saya bangkitkan dengan kerajaan yang lepas dan pada waktu itu mesyuarat Kabinet terakhir.
“Saya kata waktu itu kita boleh buat kajian, jadi saya harap ada kajian mendalam dapat dibuat untuk melihat dari segala aspek bukan hanya dari segi faktor pekerjaan tetapi juga soal keselamatan
“Ini jangka masa pendek, apakah jangka masa panjang untuk menjana pendapatan untuk org muda,” katanya ketika ditemui pada Seminar Separuh Hari PRU14:Implikasi Kepada Pilihan Raya ke-15, di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) di sini hari ini.
Khairy berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan mengapa Gojek itu tidak diperkenalkan olehnya ketika beliau menduduki kerusi Menteri Belia dan Sukan bagi menggalakkan golongan mat motor menjalani kehidupan yang lebih baik dan tidak terlibat dengan masalah sosial.
Sebelum ini, Syed Saddiq Syed mengatakan golongan ‘mat motor’ di negara ini berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan melalui perkhidmatan Gojek.
Menurut Syed Saddiq, cadangan itu diterima sebulat suara oleh Kabinet dan ia mampu membuka puluhan ribu peluang pekerjaan serta menjadi medium untuk peniaga menjual produk mereka.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, kerajaan kini perlu memperkemaskan lagi pelaksanaan model ekonomi tersebut dengan mengambil kira pelbagai sudut termasuk faktor keselesaan penumpang yang akan menggunakan khidmat berkenaan.
Terdahulu, Khairy menjadi panel dalam seminar berkenaan yang turut disertai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dr Rais Hussin dan Penasihat Pemetaan Tindak Malaysia, Danesh Prakash Chacko. – MalaysiaGazette