PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan agar golongan yang membuat laporan polis terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad agar menilai sendiri makna perkataan ‘pariah’ yang digunakan perdana menteri itu baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri itu berkata, sebagai seorang perdana menteri, Dr Mahathir pastinya tahu apa yang diperkatakan oleh beliau.
Muhyiddin tidak menolak kemungkinan kenyataan itu disalahertikan.
“Takkan perdana menteri tidak tahu apa yang dia cakap. Tidak wajar dan mungkin disalahtafsirkan. Kalau nak tahu maksud sebenar kena tanya balik perdana menteri apa yang diucapkan beliau,” katanya ketika ditemui media sempena program Kibar Jalur Gemilang di Kementeriannya, hari ini.
Semalam, V Maneyvannan bersama 3 individu yang mewakili PKR Kapar membuat laporan polis berhubung kenyataan Dr Mahathir.
Mereka turut menuntut Mahathir memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan menggesa Ketua Polis Negara serta Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.
Ditanya samada laporan polis itu perlu dibuat, Muhyiddin berkata,, semua pihak harus melihat kenyataan Dr Mahathir dari segi konteksnya dan tidak beremosi.
“Bila tidak puas hati, lapor kepada polis. Ini kerja saya pula nak siasat. Tapi sepatutnya mereka tengok betul-betul maksud yang disampaikan.
“Mereka cerdik pandai takkan sebab orang kata kamu pariah, kadang-kadang Melayu cakap dengan Melayu pun bukan maksudnya kaum India tu pariah.
“Ini soal konteks apa yang telah Dr Mahathir katakan. Itu penting selain buat tuduhan. Kalau apa yang berkaitan dengan pariah perlu ke kaitkan dengan kaum India. Itu tidak betul,” katanya lagi. -MalaysiaGazette