Home Politik Pengundi lebih matang pada PRU ke-15 – Shahrir

Pengundi lebih matang pada PRU ke-15 – Shahrir

Shahrir Samad

KUALA LUMPUR – Proses Pilihan Raya Umum Ke-14 pastinya sudah mematangkan para pengundi kerana pengundi telah menggunakan kuasa mereka pada 9 Mei 2018 dan sedang mengalami sendiri hasil keputusan undi yang dibuat sama ada bail atau buruk.

Lagipun, para pengundi sudah memilih kerajaan pemerintah yang mereka sendiri harapkan, kata veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad.

Secara simbolik, beliau menyatakan, pengundi-pengundi yang mengharapkan janji-janji yang ditaburkan oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum hari mengundi kini sudah sedar bahawa semua itu adalah palsu dan tidak mampu ditunaikan.

Negara yang dijanji akan menjadi lebih harmonis dari segi perhubungan kaum yang lebih erat tidak juga tercapai.

Katanya, ekonomi yang dijanjikan lebih mantap tidak juga terhasil.

Malah, urus tadbir yang lebih baik juga ‘dinodai’ oleh kepentingan politik pihak pemerintah dan kerajaan yang patuh kepada undang-undang dicabar sendiri dalam kalangan pemerintah.

“Kesemuanya ini secara positifnya akan mematangkan pengundi. Dan mereka akan menghadapi PRU15 dengan penuh kematangan dan tidak akan mudah lagi tertipu dengan janji-janji yang bukan-bukan,” kata Shahrir menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau turut menyelar Lim Kit Siang yang cuba mempopularkan konsep kleptokrasi sedangkan berbagai-bagai tuduhan terhadap kerajaan BN dan agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Tabung Haji, Felda dan syarikat milik kerajaan yang lain hanyalah propaganda PH.

Sedangkan, malang bagi PH kerana kelemahan sendiri dari sudut kebolehan dan kemampuan semakin ketara dari hari ke hari.

“Kelemahan ini tidak akan dapat ditutup dengan tuduhan kepada penyatuan politik golongan konservatif sebagai “klepto-theocracy” pada PRU15. Kematangan pengundi tidak semudah dulu untuk termakan lagi fitnah dan janji-janji kosong,” ujarnya. – MalaysiaGazette