SERDANG – Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) yang diterajui institusi perbankan Islam memberi pembiayaan kewangan kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) menerusi dana pinjaman yang disediakan berjumlah RM20 bilion.
Ia sebagai sokongan terhadap Dasar Keusahawan Nasional 2030 (DKN2030) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.
Beliau berkata, langkah yang dilakukan oleh AIBIM itu selaras dengan teras strategik ke DKN iaitu mengoptimumkan sistem kawal selia dan capaian kepada pembiayaan kewangan.
“MED komited ke arah mencapai sasaran 41 peratus prestasi PKS terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020.
“Pada tahun 2018, PKS telah mencatatkan sebanyak 38.8 peratus iaitu sebanyak RM521.7 bilion sumbangan terhadap KDNK.
“Cadangan untuk menyelaraskan peruntukan dana melibatkan PKS di bawah satu pengurusan yang sama telah dibuat supaya memudahkan kelancaran proses berkaitan program-program pembangunan keusahawanan di masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Usahawan Nasional 2019 di Maeps di sini hari ini.
Hadir sama sama pada program tersebut timbalannya, Dr MOhd Hatta Ramli dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.
Sementara itu, pada sidang medianya, Mohd Redzuan menegaskan, PKS yang hendak membuat pinjaman perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh AIBIM sebelum diluluskan.
Bagaimanapun, syarat-syarat yang termaktub di dalam terma bukanlah satu perkara asas untuk menakutkan peminjam, sebaliknya ia bagi menjaga hubungan antara dua pihak agar memahami antara satu dengan yang lain.
“Kalau kita mengenali antara satu sama lain tidaklah begitu sukar untuk kita mendapat pinjaman.
“Kita kena mengenali bank itu sendiri dan ikut syarat-syaratnya agar saling memahami dan melengkapi,” ujarnya. – MalaysiaGazette