Home Ekonomi Gaji rendah, pekerja akan hilang motivasi

Gaji rendah, pekerja akan hilang motivasi

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin bercakap semasa sesi "Definisi Landskap Polisi Baru Malaysia :Membina Negara Yang Kompetitif " pada National Economic Forum 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 OGOS 2019

KUALA LUMPUR- Ekonomi Malaysia perlu distruktur semula bagi meningkatkan tahap pendapatan rakyat, produktiviti seterusnya menyelesaikan isu kos sara hidup yang semakin tinggi.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Radzi Jidin berkata, tangga gaji di negara ini tidak berubah sejajar dengan kadar inflasi yang meningkat setiap tahun sehingga menyebabkan kos sara hidup semakin tinggi.

Bagaimanapun, peningkatan gaji tidak boleh dilakukan secara melulu sebaliknya perlu selari dengan kadar produktiviti.

“Suka atau tidak, kita perlu mengakui ada yang tidak kena pada struktuk ekonomi Malaysia.

“Semasa saya tamat pengajian pada tahun 1999, gaji pada ketika itu di antara RM1,500 sehingga RM2,500 sebulan tetapi selepas 20 tahun berlalu, masih ada graduan yang menerima gaji RM1,200 atau RM1,500 atau RM2,000 sebulan.

“Kadar inflasi naik setiap tahun tetapi gaji tidak dan ini menyebabkan peningkatan kos sara hidup.

“Gaji yang terlalu rendah menyebabkan pekerja hilang motivasi dan menurunkan kadar produktiviti tetapi kita tidak boleh senang-senang untuk menaikkan kadar gaji kerana ia perlu selari dengan peningkatan produktiviti.

“Jadi bagi meningkatkan produktiviti dan gaji, Malaysia perlu menstruktur semula ekonomi kepada ekonomi bernilai tinggi supaya kita mampu memberikan peluang pekerjaan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya semasa menjadi panel sesi Membina Sebuah Negara Kompetitif di Forum Ekonomi Kebangsaan 2019 di sini hari ini.

Menurut Radzi, antara langkah yang boleh diambil bagi meningkatkan nilai ekonomi adalah melalui mengukuhkan industri hiliran dalam sektor-sektor seperti minyak dan gas serta perladangan dan pertanian.

Selain bakal menambah nilai kepada ekonomi, ia juga merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat di luar Lembah Kelang.

Jelas Radzi, salah satu kepincangan struktur ekonomi negara ketika ini adalah kira-kira lebih 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disumbang oleh Kuala Lumpur dan Selangor.

Walaupun ia bukanlah satu perkembangan yang tidak baik tetapi kerajaan katanya, mahu melihat taburan pertumbuhan ekonomi lebih meluas dan dapat dinikmati rakyat di setiap negeri.

“Masih banyak ruang untuk diperbaiki bagi bertukar kepada ekonomi bernilai tinggi.

“Industri hiliran dalam sektor minyak dan gas seperti oleokimia dan minyak sawit contohnya, masih banyak yang boleh diperkukuhkan.

“Contoh lain, selama ini kita mengimport makanan binatang ternakan sedangkan kita menghasilkan hampas isirung sawit (PKC) tetapi sebelum ini kita eksport bahan tersebut ke luar negara.

“Mereka pula memproses PKC tersebut untuk menghasilkan makanan binatang ternakan dan menjualnya semula kepada kita.

“Jadi, jika kitab oleh hasilkan sendiri di negara sendiri, bukan sahaja kita telah mencipta nilai dalam perniagaan hiliran tetapi kos makanan haiwan ternakan akan jadi lebih murah dan seterusnya harga haiwan ternakan dapat diturunkan.

“Kita mempunyai asas yang kukuh dan ekonomi serta pasaran yang pelbagai.

“Apa yang perlu kita lakukan adalah struktur semula ekonomi dan terus melangkah ke hadapan,” katanya.- MalaysiaGazette