KUALA LUMPUR – Jordan akan menentang Harimau Malaya tanpa tiga pemain kesebelasan utama mereka pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.
Ketua Jurulatih Jordan, Vital Philomene Borkelmans berkata, aksi persahabatan menentang pasukan Malaysia sangat penting untuk anak buahnya untuk mengekalkan stamina dan prestasi.
Katanya, musim Jordanian Pro League yang sudah menutup tirai merupakan satu lagi situasi yang menyukarkan anak skuadnya untuk terus berlatih.
“Kami sangat positif sejak turun ke Malaysia empat hari lalu manakala kemudahan untuk berkempung dan melakukan latihan memanaskan badan di stadium sangat terbaik.
“Akan tetapi kami tidak boleh memandang rendah kekuatan Harimau Malaya dan harap anak murid saya memberikan yang terbaik di atas padang esok.
“Memang tiga pemain utama kami iaitu penjaga gol, penyerang dan seorang pemain tengah utama tidak akan beraksi esok, kami mempertaruhkan beberapa pemain muda sebagai menimba pengalaman dan juga harapkan keputusan positif esok,” katanya dalam sidang media khas di Stadium Nasional hari ini.
Tambah Borkelmans, cuaca yang baik di Malaysia seperti di Taipei dalam aksi persahabatan minggu lalu diyakini membantu skuadnya esok.
“Kami bukan seperti pasukan Real Madrid atau Barcelona terbang selesa dengan kemudahan kelas perniagaan dalam pesawat.
“Setiap ruang latihan anak murid kami memanfaatkan sebaik-baiknya sudah pasti mereka teruja bertemu Malaysia dan menjaringkan gol di gawang lawan.
“Kami tahu Harimau Malaya pasukan kuat tetapi saya yakin dengan anak murid kami,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette.