KUALA LUMPUR – “Patutkah saya melupakan Malaysia Baru dan berhenti?”
Itu persoalan ditimbulkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang sedar ada gesaan untuknya berundur selepas lima dekad dalam politik.
Bagaimanapun, ahli politik veteran itu berikrar mahu melihat DAP tidak mengkhianati prinsip Malaysia Baru.
Malah beliau berkata DAP memerlukan masa agar rakyat menyedari perkara itu dan menggesa pemimpin parti itu memiliki stamina, sabar dan komited terhadap usaha tersebut.
Dalam keadaan sekarang, menurut Kit Siang, jika pilihan raya umum diadakan – beliau akan tewas kerusi Parlimen Gelang Patah dan DAP akan kehilangan 30 hingga 40 peratus undi di seluruh negara.
“Ini disebabkan salah tanggapan dan salah faham mengenai DAP dan Pakatan Harapan dalam kalangan penyokong lama kami.
“Kami perlukan masa untuk penyokong kami dan rakyat sedar DAP tidak mengkhianati mereka dan kita tidak boleh menyerah kalah dengan harapan dan matlamat Malaysia Baru untuk mencapai perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti.
“Jika DAP telah mengkhianati rakyat dan harapan dan objektif Malaysia Baru, maka DAP patut ditolak oleh rakyat Malaysia dan tidak ada cara DAP boleh memulihkan atau meraih semula sokongan pengundi dengan peredaran masa. Malah, keputusannya mungkin menjadi lebih teruk.
“Tetapi jika DAP tidak mengkhianati prinsip kita dan harapan rakyat, maka masa akan menunjukkan betapa salahnya persepsi dan salah faham tentang DAP,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, sejak kebelakangan ini rakyat terperangkap dalam suasana ketakutan, bimbang dan saling mengesyaki sesama kaum termasuk kebencian membabitkan agama.
Beliau menyalahkan fenomena itu kerana ada kempen yang sengaja dimainkan oleh pihak tertentu termasuk penyebaran berita palsu dan ceramah berbaur kebencian.
“Macamana ini boleh berlaku kerana Melayu dimomokkan yang mereka tiada kuasa politik dan hak, kaum, agama dan budaya mereka kini diancam.
“Contohnya, kejadian gangguan sistem di KLIA yang dikaitkan dengan kemasukan tiga juta warga China dan ini tidak berasas dan berita palsu,” katanya,
Menurutnya, mana mungkin tiga juta orang menyusup masuk melalui KLIA dalam masa tiga hari kerana ia bermakna mesti ada 10,000 pesawat mendarat dalam masa sehari. Bolehkah perkara itu berlaku tanpa orang mengetahuinya?” soalnya.- MalaysiaGazette