KUALA LUMPUR- Jawatankuasa Pilihan Bajet 2020 mahu kerajaan memberikan keutamaan tertinggi terhadap soal untuk ‘mencari makan’ semasa merangka belanjawan tahun depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, selepas mengadakan banyak siri mesyuarat, jawatankuasa tersebut telah menghantar cadangan-cadangan yang boleh dipertimbangkan kerajaan untuk Bajet 2020 kepada Kementerian Kewangan semalam.
“Kami telah mengadakan banyak kali perbincangan dan semalam kami sudah pun menghantar cadangan-cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan.
“Kami mahu kerajaan menjadikan ‘hal-hal cari makan’ sebagai keutamaan paling tinggi.
“Kami tidak mempunyai banyak cadangan mengenai cukai kerana kerajaan berkata mereka tidak mahu mengenakan cukai baharu, itu (cukai baharu) hak mereka sepenuhnya.
“Kami banyak berbincang mengenai soal perbelanjaan tetapi saya tidak mahu mendedahkan butirannya cuma kami semua bersetuju hal-hal ekonomi hendaklah diberi perhatian utama,” katanya kepada pemberita selepas menjadi moderator sesi Hubungan Perniagaan dan Kerajaan di Forum Ekonomi Kebangsaan 2019 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mustapa juga bersetuju supaya semua pihak mengurangkan berpolitik sebaliknya memberi fokus untuk berganding bahu dalam menjadikan Malaysia yang lebih baik.
Ketika ditanya mengenai kurangnya hala tuju dasar ekonomi di negara ini, beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan baru sahaja memerintah Malaysia selama 15 bulan tetapi rakyat pula mahu melihat hasil segera.
Jelasnya, sebenarnya sudah banyak perubahan daripada segi strategi ekonomi yang berjaya dilakukan kerajaan dalam tempoh singkat.
“Bajet 2020 akan dibentangkan tidak lama lagi manakala Rancangan Malaysia ke-12 pula akan dibentangkan tahun hadapan.
“Ini merupakan perkara-perkara penting (di dalam menentukan) hala tuju ekonomi jadi kita boleh meneruskan kehidupan.
“Saya juga maklum ada pendapat yang mengatakan kerajaan tidak mendengar suara rakyat.
“Kerajaan sebenarnya mendengar suara rakyat tetapi mungkin mereka perlu melakukan dengan lebih baik lagi kerana ada pendapat yang mengatakan ianya tidak mencukupi.
“Saya yakin ada beberapa isu yang akan diselesaikan tidak lama lagi,” katanya lagi.- MalaysiaGazette