Home Nasional Pelajar KV Keningau ke pusingan akhir pada Cabaran Inovasi di Australia

Pelajar KV Keningau ke pusingan akhir pada Cabaran Inovasi di Australia

Mohd Fairuz Izwan Abdul Lait, yang kini sedang menjalani latihan industri itu, merupakan satu-satunya finalis dari Malaysia, yang bersaing dengan 45 universiti terkemuka dari Jepun, China, India, Australia, Ireland, Korea Selatan, Hong Kong, Thailand, Indonesia, Singapura dan Taiwan.

KOTA KINABALU- Pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau, berjaya ke pusingan akhir pertandingan Cabaran Inovasi Global Pelajar, di Pusat Konvensyen Kebangsaan di Canberra, Australia, yang bermula Isnin lepas dan berakhir hari ini.

Pelajar program Teknologi Elektrik Mohd Fairuz Izwan Abdul Lait, yang kini sedang menjalani latihan industri itu, merupakan satu-satunya finalis dari Malaysia, yang bersaing dengan 45 universiti terkemuka dari Jepun, China, India, Australia, Ireland, Korea Selatan, Hong Kong, Thailand, Indonesia, Singapura dan Taiwan.

Pasukan KV Keningau juga terdiri daripada Pengurus Inovasi Sirhajwan Idek, Penyelia Projek Pelajar Haini Kotin, serta Guru Penasihat Michael Dungki.

Sirhajwan berkata produk inovasi yang dipertandingkan itu adalah projek tahun akhir Mohd Fairuz Izwan, dinamakan ‘ELF Shelf’, merupakan rak dilengkapi komponen pencahayaan yang menyala secara automatik, apabila mengesan pergerakan tangan.

“Rak itu dicipta bagi memudahkan individu yang mengalami kesukaran untuk bangun dan berjalan, mengakses ubat, buku dan telefon pintar pada waktu malam dengan mudah, selain memiliki ciri automatik lain iaitu meja dan kerusi lipat,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Sirhajwan berkata Mohd Fairuz Izwan seorang pelajar cemerlang KV Keningau, yang pada awalnya aktif dalam Bahasa Inggeris, sebelum menceburi bidang inovasi, telah pun mendapat pekerjaan sebagai eksekutif jualan & perkhidmatan, di syarikat perubatan swasta di negeri ini, yang menjual mesin perubatan.

Menurutnya Fairuz Izwan menggunakan kepakarannya sebagai pelajar program elektrik, untuk memasang dan membaiki mesin perubatan di klinik, hospital serta farmasi di seluruh Sabah.

— BERNAMA