Home Utama Azmin Ali mesti direhatkan

Azmin Ali mesti direhatkan

Pengerusi Suara Anak Muda 1Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah bercakap kepada media selepas menghantar laporan siasatan forensik ke atas klip video dan gambar mirip menteri Kabinet, Azmin Ali kepada pejabat Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 30 OGOS 2019.

PUTRAJAYA – NGO yang bertanggungjawab mendapatkan laporan forensik dari pakar luar negara memberi tempoh tujuh hari kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengambil tindakan ke atas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengerusi Suara Anak Muda 1Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, jika tiada sebarang tindakan diambil, NGO itu bersama Sekretariat Suara Rakyat dan Pertubuhan Bangkit akan menyerahkan laporan forensik berkenaan kepada Polis Bukit Aman untuk mengambil tindakan terhadap individu yang terbabit dalam salah laku seks luar tabii.

Katanya, hari ini mereka menyerahkan laporan itu kepada Perdana Menteri dahulu untuk beliau mengambil maklum kandungan jawapan dari pakar forensik luar negara berhubung kajian dan penelitiannya berhubung rakaman video itu.

“Kita serah kepada Dr. Mahathir dahulu, dan dalam masa terdekat kita bagi tempoh tujuh hari, selepas itu (jika tiada tindakan) kita akan serahkan pada Bukit Aman untuk ambil tindakan terhadap individu ini.

“Laporan forensik yang kita serahkan ini dari pakar forensik UK, James Zjalic sahaja, manakala laporan forensik dari Indonesia hanya boleh diguna pakai di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sekretariat Suara Rakyat dan Pertubuhan Bangkit menghantar laporan siasatan forensik ke atas klip video dan gambar mirip menteri  Mohamed Azmin kepada pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Armand Azha yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menjelaskan, apa yang dilakukan NGO itu adalah hal berkaitan integriti dan moral kepimpinan kerajaan Malaysia.

Ujar beliau, Mohamed Azmin adalah menteri ekonomi yang diberi tanggungjawab untuk meningkatkan ekonomi negara, tetapi malangnya beliau telah terpalit dengan tingkah laku memalukan.

“Kita hormat Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, tetapi pada masa sama, kita tidak mahu pemimpin yang terpalit dengan isu moral ini ada dalam kabinet kerajaan Malaysia.

“Sudah sampai masanya Dr. Mahathir menolak politik kebencian ini dan ambil kepentingan negara sebagai agenda pentadbirannya. Kita mahu beliau rehatkan Mohamed Azmin sebagai menteri,” ujarnya.

Beliau berkata, sepanjang satu tahun empat bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah, apa yang berlaku ialah ekonomi negara semakin rosak dan isu negara semakin rosak.

Kerosakan itu berlaku kerana Malaysia mempunyai menteri ekonomi yang tidak bermoral dan berintegriti.

“Saya mewakili seluruh rakyat Malaysia memohon jasa baik Dr. Mahathir untuk mengambil tindakan serta merta dengan merehatkan Mohamed Azmin dari kepimpinan negara terutama dalam kabinet,” katanya. – MalaysiaGazette