Home Seni Hidup Biarlah orang nak kata apa, janji ada tempat berteduh – Shima

Biarlah orang nak kata apa, janji ada tempat berteduh – Shima

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (dua kiri) menyerahkan Surat Tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada Penyanyi, Ku Nazhatul Shima atau Shima (tengah) diiringi Pengerusi Yayasan Kebajikan Tanahair, Datuk DJ Dave (dua kanan) pada Majlis Penyerahan surat tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, Petaling Jaya di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 30 OGOS 2019.

PUTRAJAYA –  Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Namun beban yang dihadapi oleh penyanyi 90-an Shima semakin  ringan apabila kerajaan tampil membantu dengan memberikan kemudahan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Shima atau Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 50 berkata, rumah yang bakal didudukinya hanya dikenakan sewa RM250 sebulan, akan membantu meringankan komitmennya dan suami apatah lagi pasangan itu kini hanya bergantung kepada Zakat Selangor setiap bulan.

Shima berkongsi rasa gembira dan bertuah menjadi salah seorang yang menerima PPR.

Shima bercakap kepada media selepas hadir pada Majlis Penyerahan surat tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, Petaling Jaya, Selangor di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 30 OGOS 2019.

“Memanglah gembira, gembira sangat-sangat bukan senang nak dapat rumah ni.

“Ramai yang beratur memohon untuk mendapat rumah ini,” katanya selepas menerima Durat Tawaran Rumah PPR daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Teringin dan Setelah Aku Kau Miliki itu adalah golongan asnaf.

Ujarnya, perbezaan kadar sewa rumah yang didiaminya kini di Damansara Damai mencecah RM600 dengan PPR RM250 yang ditawarkan dianggapnya besar dan boleh memberikan sinar kepadanya.

 

“Biarlah orang nak kata rumah tu murah janji ia tempat berteduh.

“Rumah sekarang lagi beban tinggi bebannya, sekarang RM250 insya Allah kita boleh usahakan, boleh bayar,” ujarnya.

Difahamkan Shima sudah dibenarkan mengambil kunci rumah PPR di Lembah Subang 2 boleh berpindah pada bulan 9 nanti.

Namun beliau masih mencari jalan untuk berpindah kerana tidak mempunyai cukup wang untuk menyewa lori.

Meskipun susah bertahun-tahun, namun Shima berkata, beliau  berpendirian teguh untuk tidak meminta bantuan daripada keluarga sendiri kerana memahami bebanan yang perlu ditanggung mereka.

Selain mengidap masalah tulang belakang yang semakin kronik, pengalun lagu Setelah Aku Dimiliki itu juga mengalami lemah pundi kencing.-MalaysiaGazette