Home Nasional Garda terima permohonan maaf Shamsubahrin

Garda terima permohonan maaf Shamsubahrin

JAKARTA – Gabungan Aksi Roda Dua Indonesia (Garda) hari ini menyatakan penerimaan terhadap permohonan maaf pengasas sebuah syarikat teksi di Malaysia atas kenyataannya yang dianggap menghina pemandu perkhidmatan teksi motosikal Indonesia, Gojek dan negara itu.

Ketua Garda, Igun Wicaksono berkata, surat pernyataan mengenai penerimaan permohonan maaf itu telah diserahkan kepada pihak Kedutaan Malaysia di Jakarta dalam pertemuannya dengan pegawai-pegawai kedutaan diketuai Atase Polis Malaysia di Indonesia, Abu Bakar Yaacob, hari ini.

Berdasarkan satu video yang tular di Indonesia, pengasas dan penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail membuat kenyataan yang dianggap menghina pemandu Gojek dan negara Indonesia.

Bagaimanapun, Shamsubahrin telah mengemukakan permohonan maaf selepas Garda mengancam akan mengadakan demonstrasi dan mengepung Kedutaan Malaysia di Jakarta.

“Datuk Shamsubahrin juga perlu ke Kedutaan Indonesia di Malaysia untuk berjabat tangan (bersalaman) dengan Duta Besar Indonesia di Malaysia (Rusdi Kirana), atau yang mewakili, sebagai perwakilan kami rakyat dan bangsa Indonesia,” kata Igun kepada pemberita di sini.

Igun turut mengucapkan terima kasih kepada Kedutaan Malaysia di Indonesia yang menerima kehadiran mereka dalam menyelesaikan isu itu dan berharap semua pihak tidak lagi memanjangkan isu berkenaan.

Baru-baru ini Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Rahman mencadangkan supaya diperkenalkan di Malaysia perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai ojek di Indonesia, yang memicu pelbagai polemik.

Gojek, rangkaian pengangkutan dan start-up perkhidmatan ojek di Indonesia yang diasaskan oleh Nadiem Makarim, 35, yang juga ketua pegawai eksekutifnya, adalah kebanggaan Indonesia. – Bernama