Home Ekonomi Pendapatan TNB naik tapi untung bersih susut

Pendapatan TNB naik tapi untung bersih susut

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Tenaga Nasional Berhad (TNB) merekodkan peningkatan pendapatan sebanyak 5.4 peratus kepada RM26.12 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2019  berbanding RM24.77 bilion pada tempoh yang sama  tahun lepas.

Prestasi positif itu didorong oleh pendapatan yang tinggi disebabkan oleh kenaikan jualan elektrik sebanyak 5.6 peratus daripada RM23.27 bilion pada tempoh yang sama pada tahun lalu kepada RM24.58 bilion.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, TNB berkata, dari segi Gigawatt jam (GWh), jualan elektrik berkembang sebanyak 5.1 peratus kepada  61,882 GWh pada suku pertama 2019.

Ia seiring dengan peningkatan 4.5 peratus dan 4.9 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku pertama dan kedua tahun ini serta disebabkan cuaca panas sepanjang tempoh itu.

Semenanjung Malaysia mencatatkan permintaan waktu puncak tertinggi iaitu 18,566 MW pada 18 April 2019, katanya.

Bagaimanapun, keuntungan bersih yang diagihkan kepada Pemilik Syarikat (Keuntungan Bersih) pada separuh pertama 2019 adalah lebih rendah pada RM2.67 bilion berikutan kesan penerimagunaan Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 16 – Pajakan, berkuatkuasa Januari 2019.

Ia telah memberi kesan negatif terhadap Keuntungan Bersih Kumpulan pada separuh pertama 2019 sebanyak RM112.2 juta. Ini adalah pelarasan bukan tunai kepada Kumpulan.

Pelarasan Kawal Selia Lain yang dibuat untuk tempoh dikaji iaitu RM0.81 bilion, hanya mula diiktiraf pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember  2018  turut mengurangkan keuntungan bersih kumpulan.

Tambahan pula, terdapat peningkatan yang ketara dalam kos kewangan yang dilaporkan untuk separuh pertama 2019, terutamanya disebabkan oleh kesan  MFRS 16 dan pinjaman baharu oleh kumpulan.

Perbelanjaan operasi meningkat sebanyak 6.3 peratus dalam enam bulan pertama tahun  2019 terutamanya disebabkan oleh kos penjanaan yang lebih tinggi sejajar dengan peningkatan permintaan elektrik.

Peningkatan kos penjanaan disebabkan harga gas yang lebih tinggi dan penggunaan gas.

Portfolio pelaburan TNB, baik domestik dan antarabangsa memberikan sumbangan positif sebanyak RM70.0 juta berbanding kerugian RM92.9 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

“Usaha-usaha pemulihan untuk Bahagian Antarabangsa (International Division), telah mula membuahkan hasil selepas lima suku kewangan yang mencabar,” kata Presiden  dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan.

TNB memiliki 30 peratus pegangan dalam syarikat tenaga India, GMR Energy Ltd, 30 peratus kepentingan dalam GAMA Enerji, Turki dan dua syarikat tenaga boleh diperbaharui di UK, Vortex Solar (50 peratus kepentingan) dan Tenaga Wind Ventures (80 peratus kepentingan saham).

Sebagai langkah proaktif sebelum pengumuman reformasi Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI 2.0) yang dijangka tidak lama lagi, TNB pada Julai lalu mengumumkan penstrukturan semula korporat dengan menubuhkan dua entiti persendirian, iaitu penjanaan dan peruncitan bagi menghadapi pasaran yang lebih liberal.

“Penstrukturan semula ini merupakan penyumbang utama kepada strategi korporat lima tahun TNB – Reimagining TNB, yang bermula pada 2016 untuk membawa Syarikat ke peringkat global yang seterusnya,” kata Amir Hamzah.-MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

+ posts