Home Sukan Penjara FC sedia guna khidmat banduan

Penjara FC sedia guna khidmat banduan

Penjara FC kini berada di tangga ke-10 liga M3.

KUALA LUMPUR – Pasukan amatur Liga M3, Penjara FC tidak menolak akan memberikan sokongan seandainya ada cadangan untuk skuad itu menggunakan khidmat banduan sebagai pemain suatu hari nanti.

Jelas Penolong Setiausaha Penjara FC, Zainal Abiddin Hassan, setakat ini tiada perbincangan rasmi untuk memberi peluang kepada banduan beraksi di atas padang yang mana kelab itu kini hanya menggunakan khidmat 90 peratus kakitangan penjara sebagai pemain.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan besar penyokong dapat menyaksikan banduan terpilih untuk beraksi seandainya ada cadangan daripada pihak tertentu yang ingin memberi peluang kepada mereka beraksi dalam saingan liga amatur itu selepas ini.

Jelas Zainal, cadangan sedemikian tidak mustahil tetapi haruslah berpandukan peraturan-peraturan yang berkaitan sebelum membenarkan mana-mana banduan menggalas tugas sebagai pemain.

“Buat masa sekarang ini memang kita tidak ada guna khidmat mana-mana banduan sebagai pemain kerana hampir kesemuanya adalah kakitangan yang bekerja di sini.

“Namun, berkemungkinan besar ia boleh berlaku sekiranya ada pihak-pihak tertentu yang memberi cadangan dan ingin melihat banduan beraksi di mana kami sebagai pihak pengurusan akan sokong sepenuhnya.

“Saya sendiri menyokong kerana pertama, peluang yang diberi kepada banduan untuk bermain pastinya akan begitu bermakna kepada mereka dan kedua, sekurang-kurangnya banduan dapat satu perasaan untuk dia rasa diterima oleh masyarakat luar sebelum bebas.

“Saya pasti saat-saat sebegitu dalam masa yang sama dapat mendisiplinkan banduan itu sendiri,” jelasnya menerusi kenyataan Malaysian Football League di sini hari ini.

Dalam masa sama, Zainal berpuas hati dengan prestasi pasukan yang berjaya mengikat pasukan yang kini berada di tangga kedua liga, Kuching FA tempoh hari.

Mereka yang kini menghuni tangga ke-10 liga bagaimanapun perlu bangkit untuk terus perbaiki kedudukan walaupun sasaran awal untuk berada pada kelompok lima teratas dilihat agak sukar ketika ini.

“Perlawanan berdepan Kuching FA agak mencabar kerana mereka adalah pasukan kuat dan keputusan seri 2-2 itu memang tidak dijangka.

“Tapi apa-apa pun, usaha perlu dipertingkatkan di mana saya dapat lihat pemain-pemain sentiasa berusaha keras untuk memperbaiki kedudukan.

“Memang awalnya, saya sasar untuk kita berada di tangga lima teratas, tetapi agak sukar ketika ini dengan keadaan sesetengah pemain ada yang masih cedera, jadi kita cubalah sebaik mungkin untuk terus perbaiki kedudukan”, katanya. – MalaysiaGazette