Home Utama Saya tidak gelar diri sendiri Ketua Strategis Bersatu – Dr Rais

Saya tidak gelar diri sendiri Ketua Strategis Bersatu – Dr Rais

Barisan ahli panel, Datuk Wira Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff (tengah) diiringi Khairy Jamaluddin (kiri) dan Danesh Prakash Chacko (kanan) bercakap pada Seminar Pilihanraya Ke-14: Implikasi Pilihanraya Ke-15 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Arif menafikan dakwaan Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau adalah Ketua Strategis parti.

Malah katanya, beliau tidak pernah menggunakan nama jawatan itu yang mengaitkan dirinya pada mana-mana laporan berita.

“Saya tidak pernah memanggil diri saya sebagai Ketua Strategi (Bersatu).

“Bahkan anda boleh semak artikel mengenai saya, saya jelas menggunakan gelaran Ketua, Dasar dan Strategi Bersatu.

“Kalau media panggil saya macam itu, apa yang saya boleh katakan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Mahathir berkata jawatan Ketua Strategis tidak wujud dalam parti itu dan individu yang menggelar dirinya memegang jawatan itu memberikan sendiri gelaran itu kepada dirinya.

“Kami tidak ada pakar strategis dalam parti. Saya tidak tahu siapa yang melantik siapa.

“Itu bukan lantikan rasmi. Itu gelaran yang diberikan oleh diri sendiri,” kata Dr Mahathir.

Ditanya sama ada beliau merujuk kepada Dr Rais Hussin, Dr Mahathir menjawab ‘mungkin’.

BACA: https://malaysiagazette.com/2019/08/29/panggil-ph-kerajaan-sepenggal-ahli-bersatu-bakal-berdepan-tindakan/

Mengulas lanjut, Dr Rais berkata beliau dilantik sebagai Pengerusi Biro Dasar dan Strategi dari hari pertama Bersatu ditubuhkan.

Katanya, lantikan itu diberikan oleh Dr Mahathir sendiri ketika mempengerusikan mesyuarat dengan ahli-ahli Majlis Tertinggi yang dihadiri Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pada Rabu, Dr Rais pada forum ‘Pilihan Raya-Pilihan Raya Kecil Pasca PRU-14: Implikasi pada PRU-15’ berkata, PH bakal berdepan dengan kekalahan dalam melawan UMNO-Pas jika pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

Beliau juga berkata, sudah tiba masanya untuk PH memenuhi keperluan rakyat sekiranya tidak mahu menjadi kerajaan sepenggal.

“Saya akan terus bercakap benar tanpa takut kepada sesiapa. Ingat, saya bukan ahli politik,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

PH ‘tersingkir’ jika PRU-15 dibuat dalam masa terdekat