KUALA LUMPUR – Semua kita semua sedia maklum bahawa bendera adalah lambang kebanggaan dan kemegahan bagi identiti sesebuah kerajaan atau negara.
Pastinya kibaran bendera walaupun nampak mudah, namun bukanlah suatu perkara yang boleh diambil enteng.
Memasang Jalur Gemilang secara terbalik mahupun menukar warna atau cubaan untuk mengubah bendera bukan sesuatu yang boleh dianggap sebagai mudah atau tidak ‘apa-apa’.
Malah untuk menyimpulkan ianya satu kesalahan kecil atau sekadar ‘lawak’ seperti kata pimpinan tertentu tidak boleh langsung diambil sebagai tolak-ansur.
Juga tindakan segelintir pihak yang cuba menjadikan ia sebagai modal politik untuk berterusan bagi menyemarakkan rasa benci sesuatu yang tidak boleh diterima.
Itu kata Presiden Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM), Shanmugam Ramiah yang kecewa dengan sikap segelintir pihak termasuk pemimpin negara yang mengambil mudah akan lambang identiti negara ini.
“Bendera adalah lambang kemegahan sesebuah negara, ianya juga maruah serta identiti kita, memasangnya dengan terbalik bukan sekali tetapi banyak kali di pelbagai lokasi sambil menyatakan ianya satu perkara kecil sesuatu tidak boleh di terima.
“Apakah perasaan anda seandainya maruah dan simbol negara ini dipasang terbalik? Diwarnakan sesuka hati, malah ada juga cadangan untuk mengubahnya? Mengapa terlampau meremehkan tentang isu ini? Ada juga yang kibarkan bendera lusuh, rosak seperti tidak ada apa-apa.
“Apa yang mengejutkan lagi, walaupun kita sudah berada di ambang kemerdekaan dalam beberapa jam lagi, masih ada lagi pihak tidak menghormati Jalur Gemilang kita, bercakap seolah-olah ianya tidak menjadi satu hal jika diterbalikkan. Ada juga masih berterusan mempolitikkan isu ini.
“Jika dibiarkan berlarutan, satu kesilapan ‘kecil’ itu mampu membawa padah yang besar.
“Jalur Gemilang adalah lambang maruah kita, tidak patut ada toleransi atau mengambil mudah sebab itu saya terpanggil untuk bercakap kerana semakin ‘menjadi-jadi’,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau terganggu dengan laporan pemasangan lambang negara itu secara terbalik kerana ia berlaku bukan sekali, dua sebaliknya banyak aduan dan semakin menjadi-jadi tanpa sedikit rasa kesal.
Ada juga pihak yang mewarnakan warna seperti hitam bendera Malaysia kononnya kerana mahu memprotes inisiatif kerajaan mengenalkan tulisan jawi di sekolah rendah jenis kebangsaan.
Ada juga pemimpin DAP yang merasakan pemasangan Jalur Gemilang yang ditularkan dalam media sosial merupakan suatu ‘kesilapan biasa’ yang tidak seharusnya digambarkan sebagai tidak setia mahupun tidak patriotik.
Sehubungan itu, Shanmugam memberi cadangan supaya isu bendera ini dapat dinoktahkan.
“Antaranya, kerajaan perlu menggubal suatu akta penggunaan bendera Malaysia atau logo rasmi Malaysia memastikan rakyat menghormati bendera yang menjadi kebanggaan negara.
“Mungkin boleh mencontohi India, Amerika Syarikat atau Singapura yang ada Akta Bendera yang tersendiri.
“Apa yang lebih penting sebenarnya adalah mengubah mentaliti dan sikap masyarakat. Perlu ada kesedaran sivik tinggi untuk sentiasa hormat dengan Jalur Gemilang sebagai indentiti negara yang mana tanah tumpahnya darah kita.
“Jangan sesekali ambil mudah dalam menjaga martabat, indentiti serta maruah kita iaitu Jalur Gemilang. Marilah kita insafkan diri dan kembalikan semangat patriotik dalam diri masing-masing. Jangan sesekali lupa dengan pengorbanan pejuang-pejuang sehingga nyawa melayang untuk memerdekakan kita.
“Selamat Hari Merdeka kepada kita semua, ayuh sama-sama gemilangkan Jalur Gemilang kita dan bersatu atas nama Malaysia,” ujarnya. -MalaysiaGazette
Kenapa kurang ajar sangat tukar warna Jalur Gemilang kepada hitam?