KUALA LUMPUR – Sebuah keluarga Melayu dari Bandar Seri Damansara mencuri tumpuan umum apabila tampil mengenakan pakaian ala tradisional yang disulam menggunakan tema ‘Jalur Gemilang’.
Enam adik beradik yang sentiasa teruja setiap kali menjelangnya sambutan Kemerdekaan begitu gembira kerana dapat mengenakan pakaian istimewa yang dijahit oleh ibu saudara mereka sendiri.
Berumur antara dua hingga 11 tahun, kanak-kanak ini semuanya begitu riang bercerita tentang perasaan mereka mengenakan pakaian patriotik dalam menzahirkan rasa cinta mereka kepada Jalur Gemilang.
ohd Alif Mohd Hishamuddin yang berumur 11 tahun dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Damansara berkata, ibu mereka sudah mengejutkan mereka seawal dua pagi untuk bersiap sedia.
“Saya rasa lebih teruja berbanding hari raya sebenarnya. Rasa gembira dan bangga dapat pakai baju dengan jahitan Jalur Gemilang. Semua puji saya dan adik-adik lain. Saya sangat sayangkan negara saya.
“Rasa bangga juga ada. Nanti kami akan pakai ini ketika majlis hari kemerdekaan di sekolah juga. Ini juga tahun ketiga kami semua berpakaian seperti ini, jadi setiap kali merdeka, kami semua sudah mula buat persiapan,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.
Seorang lagi, Intan Izani Mohd Izan, 11 yang merupakan sepupu kepada Mohd Alif pula berkata, setiap tahun mereka akan memakai berpakaian ala pendekar dan puteri raja berkonsepkan Jalur Gemilang, tema mereka juga berbeza.
Selain itu, kata Intan, antara impian mereka sekeluarga adalah menemui perdana menteri dan bersalaman dengan beliau sambil menyatakan rasa cinta kepada negara.
“Setiap tahun kami datang jika ada peluang untuk bersalaman dengan perdana menteri. Mesti seronok,”ujarnya.
Sementara itu, ketika bercakap dengan ibu saudara yang juga merupakan seorang tukang jahit, Ariani Pariman berkata, beliau sudah berkecimpung dalam dunia jahitan sejak 19 tahun lalu.
Katanya, sejak 9 tahun lebih aktif menerima tempahan namun keutamaan diberikan kepada keluarganya sendiri dengan menggayakan anak-anak dengan tema kemerdekaan mereka sukai.
“Saya guna kain biasa sahaja untuk jahit, untuk enam orang ini termasuk anak perempuan saya Intan, saya belanja sekurang-kurangnya dalam RM400.
“Mereka begitu teruja, juga akan sentiasa ingatkan saya dan memberi idea masing-masing. Saya akan mula jahit pada awal bulan dan selesai dalam dua minggu.
“Tahun depan buat lagi, selagi terdaya saya akan buat. Pada saya, ini juga salah satu cara untuk tunjukkan semangat kemerdekaan untuk negara di cintai ini,” ujarnya.
Bukan sahaja keluarga Ariani, malah ramai lagi yang tampil kreatif dengan pelbagai reka bentuk baju berwarna warni, selendang, lukisan di wajah, pengikat kepala dan banyak lagi untuk mempamerkan semangat mereka.
Malaysia menyambut hari kemerdekaan ke-62 pada hari ini, 31 Ogos 2019 dengan tema ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ bertempat di Dataran Putrajaya.
Tinjauan MalaysiaGazette juga mendapati sekurang-kurangnya seramai hampir 30,000 sudah membanjiri acara perarakan sejak awal pagi tadi. –MalaysiaGazette