PUTRAJAYA – Telatah comel dan bersahaja Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, ketika berangkat menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Putrajaya sentiasa dikagumi rakyat.
Berbusana baju kurung merah jambu, keayuan wajah Tunku Azizah mengiringi hayunan langkahnya melambai ke arah rakyat jelata yang hadir, pada detik bersejarah pagi ini.
Tunku Azizah dilihat mengeluarkan telefon pintarnya untuk merakam babak-babak menarik, ketika persembahan antaranya adalah formasi grafik manusia dan persembahan khas ‘Sayangi Malaysiaku-Malaysia Bersih’.
Lebih menarik perhatian apabila baginda berdua berdiri sambil bertepuk tangan dan menunjukkan isyarat ‘thumb ups’ kepada Kontinjen Berkuda Perkhidmatan Awam, yang diketuai Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar.
Telatah ‘comel’ Sultan Abdullah, turut mencuri tumpuan ketika deruan pesawat pejuang di ruang udara Putrajaya kedengaran ketika persembahan pertunjukkan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Ulang tahun kemerdekaan kali ke-62 ini lebih istimewa buat Seri Paduka, yang pertama kali mencemar duli ke sambutan hari kebangsaan sejak ditabalkan pada 30 Julai lalu.
Keberangkatan pulang Seri Paduka berdua mendapat sorakan gemuruh, ketika pasangan diraja itu meninggalkan lokasi dalam kereta sambil melambai-lambai keluar ke arah pengunjung. – MalaysiaGazette