Home Pendapat Hayati sambutan Hari Kemerdekaan

Hayati sambutan Hari Kemerdekaan

Gambar hiasan

SETIAP  tahun menjelang 31 Ogos, kerajaan dan rakyat Malaysia akan membuat persediaan untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang telah diisytiharkan secara rasmi tepat jam 9.30 pagi pada 31 Ogos 1957.  Setiap tahun juga pemimpin negara akan mengingatkan kepada rakyat tentang perit lelah perjuangan kemerdekaan yang lalu termasuklah pasukan angkatan tentera, polis, penghulu, ketua kampung serta seluruh rakyat jelata. Rakyat sanggup mengumpul wang untuk menaja pemergian Tengku Abdul Rahman dan rombongannya ke London untuk mengadakan perundingan dan menandatangani surat penyerahan kemerdekaan negara. Pengorbanan anggota keselamatan yang telah dilakukan bukan terhad kepada mereka di perbatasan, tetapi melibatkan seluruh rakyat Malaysia.  Inilah yang perlu sentiasa diingatkan kepada seluruh rakyat supaya menyedari bahawa kemerdekaan itu tidak diperolehi dengan harga yang murah. Kemerdekaan diperoleh dengan darah, keringat dan air mata.

Apakah boleh generasi sekarang dapat membayangkan bagaimana sukarnya perjuangan pemimpin dan rakyat dahulu?  Sebab itulah sambutan setiap tahun diadakan untuk mendidik dan menanamkan rasa cinta dan sayang kepada negara.  Generasi sekarang harus berusaha untuk menginsafi kesusahan pejuang lampau, sedangkan kita kini hanya merasakan nikmatnya selepas mencapai kemerdekaan. Perayaan kemerdekaan sepatutnya memerlukan kita mengingatkan tentang betapa susahnya untuk mendapat kemerdekaan daripada penjajah. Bangsa Melayu terpaksa menerima pelbagai persetujuan yang dituntut oleh orang Cina dan India sebelum kemerdekaan diberikan. Akhirnya semua pemimpin kaum diminta menandatangani perjanjian yang dinamakan kontrak sosial.  Berasaskan kepada kontrak inilah, rakyat Malaysia hidup harmoni, aman, makmur dan saling menghormati antara satu sama lain bagi menikmati bersama hasil kemerdekaan negara.

Kemerdekaan ini membentuk jatidiri rakyat untuk mempunyai semangat patriotik.  Induk jatidiri berpaksikan kepada pejuangan penduduk asal Semenanjung Tanah Melayu khususnya orang Melayu. Orang Melayu yang tersebar di seluruh kawasan Nusantara telah memudahkan pembentukan Malaysia bersama penduduk Sabah dan Sarawak, Hakikatnya kita kini telah terlepas daripada belenggu penjajahan British.  Kemerdekaan yang diberikan oleh penjajah membolehkan rakyat Malaysia hidup bersama membangunkan negara tanpa ada rakyat yang disisihkan.  Malangnya setelah 62 tahun merdeka, kita masih tertanya-tanya apakan kita telah mencapai matlamat kemerdekaan yang datuk nenek kita perjuangkan.  Sejak kebelakangan ini, pelbagai isu yang timbul yang menyebabkan rakyat dan pemimpin semakin hari semakin renggang dan malah jurang antara kaum di Malaysia semakin nyata. Kita dapati sistem pendidikan, ekonomi, perumahan dan aktiviti sosial tidak membawa rakyat Malaysia kepada apa yang dicita-citakan untuk menjadi sebuah negara membangun sebagai sebuah entiti yang bersepadu.

BUDAYA MALAYSIA

Usaha untuk menghidupkan budaya Malaysia dengan rakyat bersifat ramah, hormat menghormati, saling bertoleransi serta boleh berkongsi kini telah diganti dengan sifat-sifat mementingkan diri sendiri, mementingkan budaya sendiri, dan kaum sendiri.  Kita seolah-olah hidup dalam kelompok masing-masing. Orang Cina dan India boleh hidup mewah di Malaysia tanpa perlu bergaul dengan bangsa Melayu.  Malah jika kita pergi ke pasar-pasar malam tertentu, kita akan berjumpa dengan begitu ramai yang tidak boleh berbahasa Malaysia. Bolehkah kita katakana negara telah merdeka atau kita masih belum mencapai kemerdekaan, atau pun kemerdekaan kita semakin hari semakin hilang?

Sambutan kemerdekaan tahun ini sangat istimewa kerana ia berlaku dalam bulan Zulhijjah, bulan di mana umat Islam menunaikan ibadah haji dan korban. Tahun ini penulis berkesempatan merayakan Hari raya Aidiladha di negara Kemboja.  Ia merupakan sebuah negara yang dahulunya dikuasai oleh rejim komunis Pol Pot yang telah memerintah dengan zalim terhadap rakyatnya sendiri. Sudah pasti, rakyat hidup dengan penuh kesengsaraan di bawah pemerintahn rejim ini. Fenomena mengerikan ini menjadi lebih dahsyat terhadap orang Islam.  Ibadah korban tahun ini memberi banyak pengajaran tentang pengorbanan yang diajar dalam agama Islam. Umat Islam di Kemboja perlu dibantu kerana mereka juga  mahukan kehidupan dan kemerdekaan daripada belenggu kemiskinan ilmu dan harta benda.

Sesungguhnya rezeki dan jodoh pertemuan itu ditentukan Allah SWT. Di Kemboja, kita disambut dan dipimpin oleh Ustaz Abdul Samad, seorang insan yang banyak berkorban dalam usaha dakwah, mengislamkan mereka yang belum Islam, mengajar ilmu agama kepada yang memerlukan, membangunkan madrasah di kawasan pendalaman serta membangunkan kemudahan asas seperti perigi dan rumah ibadah seperti masjid dan surau.  Program sambutan Aidiladha memberi banyak keinsafan betapa gigihnya perjuangan untuk mengekalkan kemerdekaan dan membangunkan dalam kalangan penduduk Islam di Kemboja.  Umat Islam di Kemboja memperjuangkan kemerdekaan diri daripada persekitaran kehidupan yang bukan Muslim.  Mereka benar-benar mempertahankan kemerdekaan mereka daripada dikuasai dan dipengaruhi oleh orang lain.  Mereka bersungguh-sungguh saling membantu memastikan tidak ada yang mengganggu gugat kemerdekaan mereka.  Mereka mengambil pengajaran daripada ibadah korban.  Setiap korban itu terhasil daripada gabungan sekumpulan yang ramai, tujuh bahagian setiap ekor lembu dan dagingnya kemudiannya diagihkan kepada komuniti yang ramai pula.  Konsep kebersamaan inilah yang diamalkan mereka dalam mempertahankan agama Islam untuk generasi akan datang.  Mereka menjalani kehidupan yang harmoni walaupun berada dalam keadaan daif, namun tetap terserlah ajaran Islam yang menghormati keluarga, jiran dan tetamu, serta menghormati pemimpin dan mereka yang berilmu. Rakyat Malaysia berasa bertuah apabila dapat menjalankan ibadah korban dalam kalangan masyarakat Islam yang amat memerlukan bantuan dan sokongan. Kita berasa bertuah kerana dapat berjumpa tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan kemerdekaan dan memugarkan keringat semata-mata untuk membangunkan umat Islam.

Masyarakat Islam kemboja tetap mengekalkan budaya bangsa mereka. Dalam kita menyambut kemerdekaan ini, rakyat kita seharusnya mempunyai jati diri Malaysia.  Kita menyambut kemerdekaan dengan memperkukuhkan ideologi negara iaitu amalan Rukun Negara. Kita seharusnya bersatu dan meraikan kepelbagaian yang ada di negara ini dan seterusnya membangunkan negara yang kita cintai bersama. Sempena kemerdekaan ini seharusnya kita rakyat Malaysia bersama-sama membangunkan pendidikan ke arah penyatuan bangsa dan negara serta mengembangkan pemikiran rakyat supaya bersifat holistik dan bertamadun.

PENDIDIKAN

Pada zaman pemerintahan Tun Abdul Razak, beliau amat menitikberatkan tentang pendidikan. Beliau menjadikan institusi pendidikan tinggi sebagai tempat rujukannya bagi membuat perancangan dan keputusan. Tradisi ini kini sedikit demi sedikit terhapus kerana berlakunya tumpuan yang berlebihan kepada bidang sains, teknologi dan industri sehingga mengabaikan pendidikan peradaban, etika dan jatidiri untuk membangukan masyarakat.  Penekanan diberikan kepada kedudukan ranking dan bilangan penerbitan yang hanya bermanfaat  untuk segolongan kecil insan akademik. Bahan-bahan kajian hanya tersusun rapi di perpustakaan dan tidak berjaya diterjemahkan kepada pembangunan ummah dan negara.  Kita perlu mengkaji semula perkara ini dan bukannya tertumpu kepada perkara remeh yang dimainkan oleh media elektronik sekarang ini.  Kita mesti jelas bahawa institusi pendidikan tinggi adalah induk keilmuan, yang seharusnya membina dan mencambah peradaban bangsa Malaysia. Kesemua aktiviti di universiti sepatutnya ditujukan untuk membangunkan negara.  Hakikatnya, universiti dan masyarakat tidak boleh terpisah antara keduanya.

Kajian Indeks Kepuasan Rakyat Malaysia yang dijalankan oleh UTM Survey Research Group dengan kerjasama Yayasan Sumber Maklumat telah mendapati dua dimensi utama yang menjadi keutamaan rakyat.  Jika dua dimensi ini dijaga oleh pemimpin dan pentadbiran kerajaan, maka banyaklah masalah rakyat akan dapat diatasi. Yang pertama adalah dimensi tadbir urus dan keduanya adalah dimensi ekonomi.  Walaupun pada awal kemerdekaan kita, kerajaan memberi tumpuan penuh kepada keperluan asas seperti yang diperlukan oleh komuniti Muslim di Kemboja, tetapi selepas 62 tahun merdeka, tumpuan perlu berubah kepada kesejahteraan hidup rakyat yang berbilang etnik di Malaysia.

Kepimpinan Kerajaan Malaysia mestilah menfokuskan kepada memenuhi keperluan rakyat iaitu memastikan tadbir urus yang baik dan bebas daripada unsur rasuah, pentadbiran yang cekap, berintegriti dan amanah. Manakala dimensi ekonomi pula haruslah ke arah merapatkan jurang antara kaya dengan miskin dan di antara kemudahan di kawasan luar bandar dengan bandar. Yang paling ditekankan oleh rakyat daripada dapatan kajian ini adalah dalam aspek ekonomi peribadi, ekonomi keluarga dan bukan sangat kepada ekonomi makro.  Rakyat mahukan sambutan kemerdekaan ini memberi makna dalam kehidupan. Mereka berkeupayaan membayar hutang jika berhutang, membiayai persekolahan anak, ada cukup keperluan dapur, ada wang untuk menziarahi keluarga atau melancong di dalam negeri dan yang berkaitan dengannya.

Polisi kerajaan sempena kemerdekaan ini hendaklah ke arah membangunkan negara secara seimbang supaya dapat mengurangkan jurang kemiskinan bandar yang berleluasa.  Apa ertinya kemerdekaan jika rakyat tidak sejahtera.  Sejak sekian lama negara merdeka masih ada rakyat yang duduk di rumah yang tidak selesa dan selamat.  Masih ada rumah yang hanya dua bilik yang boleh membawa kepada banyak masalah sosial.  Kerajaan yang peka, seharusnya berusaha ke arah membangunkan negara untuk kepentingan rakyat, dan keselesaan kehidupan seluruh warga Malaysia.

Kerajaan Pakatan Harapan mampu memulakan era pentadbiran negara dengan memperbaiki segala kelemahan kerajaan lalu dalam memenuhi dua dimensi ini.  Walaupun kepimpinan berubah, rakyat yang dipimpin tetap sama. Berilah makna kemerdekaan yang sebenar demi kesejahteraan rakyat. Lupakan janji yang tidak mungkin dipenuhi tetapi gantilah dengan sesuatu yang jauh lebih baik daripada apa yang dijanjikan. Hentikanlah retorik politik. Usahalah ke arah membangunkan negara yang makmur, rakyat selesa dan ceria dengan memastikan warisan alam sekitar terjaga dan budaya bangsa terpelihara. Jangan biarkan budaya kuning, budaya liberal yang semakin popular sekarang dibiarkan menjadi arus perdana kehidupan. Sebaliknya binalah jatidiri rakyat Malaysia sejati berasaskan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Realitinya, ini bukan sesuatu yang mustahil dilakukan.

Kita yang mengajar di institusi pengajian tinggi, kadang-kadang berasa bahawa generasi muda tidak dapat memahami erti kemerdekaan. Generasi muda kini lebih mementingkan kepada survival mereka.  Perjuangan anak muda sekarang lebih kepada menguasai teknologi.  Sepatutnya generasi muda fokus kepada ilmu, mempunyai pemikiran tajam, kebijaksanaan, etika, dan berintegriti untuk membina sebuah negara yang kuat dan tidak mudah diinjak.  Malangnya kebelakangan ini, anak-anak muda dikelirukan dengan isu bahasa, isu tulisan jawi, isu ketidakadilan, fitnah dan sebagainya. Mereka tidak berminat untuk menganalisis isu-isu kenegaraan yang berbaur dengan faham perkauman. Mereka mahukan kehidupan yang senang tanpa bersusah payah bagi menempuh kehidupan masa depan yang lebih mencabar.

JATI DIRI 

Malaysia memerlukan rakyat yang kukuh jati diri yang menyumbang kepada negara yang bertamadun dan maju.  Sempena kemerdekaan ini, kita seharusnya perkuatkan pengamalan bahasa Melayu. Kita tidak mahu bahasa Melayu dipersoalkan lagi sebagai bahasa kebangsaan, agama Islam sebagai agama Persekutuan dan hak keistimewaan orang Melayu.  Bahasa Melayu mestilah menjadi bahasa pertuturan harian rakyat Malaysia. Mengambil semangat merdeka, kita mesti tahu bahawa bahasa Melayu adalah bahasa global dan boleh dibanggakan dan mampu digunakan sebagai bahasa ilmu dan bahasa komunikasi.  Para pemimpin kita sepatutnya mampu menggunakan bahasa Melayu apabila berbicara dalam majlis rasmi bagi menunjukkan jati diri yang cintakan negara Malaysia.  Untuk membolehkan peradaban bangsa terus diperkasa, pengajian bahasa dan warisan perlu diberikan keutamaan dalam ekosistem pengajian tinggi tempatan.  Tambahan pula, Malaysia merupakan negara berbilang agama, bangsa dan budaya. Kerajaan dan rakyat seharusnya bersama mengukuhkan budaya dan tamadun kebangsaan, di samping meraikan dan menghormati kepelbagaian. Usaha ini tidak sesekali menghalang kebebasan suku kaum mengamalkan budaya dan tradisi ibundanya. Begitupun, hasrat untuk membina citra negara bangsa ialah asas kehidupan bermasyarakat yang perlu diberikan keutamaan. Inilah bentuk kesedaran dan kelestarian kehidupan harmoni bangsa Malaysia.

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik. Setelah banyak negara yang telah dilawati, terasa Malaysia adalah sebuah negara bertuah dan terbaik. Banyak perkara boleh kita fikirkan bersama bagi memastikan negara kita terus aman dan maju. Usaha secara berterusan mesti dilakukan demi kelangsungan kesejahteraan tanah air. Rakyat yang bersyukur seharusnya mempunyai budi bahasa dan berakhlak murni.  Sifat dan budi pekerti ini hendaklah dipupuk melalui budaya, pendidikan dan kepimpinan kerana ini boleh menaikkan imej negara di persada global. Sifat lemah lembut bangsa Malaysia perlu diperkukuh dengan sifat sukakan kebersihan demi menjaga kelestarian alam sekitar. Rakyat perlu mempunyai kualiti kelas pertama dengan menjaga kebersihan tempat tinggal, tidak mementingkan diri sendiri dan mempunyai kesedaran sivik yang tinggi. Kita janganlah membuang sampah merata-rata dan sentiasa menjaga kebersihan di tempat awam.  Inilah ciri rakyat Malaysia merdeka yang perlu kita bangunkan.

Sempena merdeka, kita bangunkan sifat-sifat yang positif sebagai tanda Malaysia Bersih.  Rakyat Malaysia perlu mempromosi dan mengamalkan sikap jujur, amanah dan berdisiplin bagi membolehkan seseorang itu menyumbang kepada negara. Rakyat dengan cara tersendiri perlu mengambil bahagian dalam membina citra negara. Rakyat Malaysia merdeka perlu menambah ilmu, tahu sejarah pembentukan Malaysia, menghormati institusi beraja dan sistem demokrasi.  Sempena sambutan bulan kemerdekaan ini, rakyat Malaysia perlu tahu sejarah negara supaya kita menghargai kemerdekaan dengan penghayatan sebenarnya.  Rakyat perlu menghormati dan mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan dan mengamalkan kandungan Rukun Negara. Perlembagaan Persekutuan adalah tiang seri kenegaraan, manakala Rukun Negara merupakan ciri-ciri kerukunan hidup rakyat Malaysia. Rakyat juga perlu tahu sedikit sebanyak tentang konsep sistem pengasingan kuasa dan sistem pentadbiran negara. Institusi Parlimen menggubal dan meluluskan undang-undang, pihak eksekutif diketuai kabinet bertanggungjawab melaksanakan dasar, manakala sistem kehakiman menegakkan undang-undang. Kesemua ini perlu difahami dan dihayati agar Malaysia terus maju, aman dan makmur.

Akhirnya, marilah kita sambut kemerdekaan ini dengan penuh kesedaran kerana masih banyak agenda kemerdekaan yang perlu ditangani oleh seluruh rakyat Malaysia. Kita mesti mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan yang diperoleh sejak 62 tahun dahulu. Kita semua harus menginsafi bahawa kehancuran sesebuah negara adalah bermula dengan longgarnya perpaduan rakyat dalam kalangan rakyat. Sebagai tanda sayang kepada negara, marilah kita semua bersatu demi mempertahankan tanah air yang tercinta. – MalaysiaGazette

Penulis adalah Profesor di Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia