Home Utama Puluhan ribu mula banjiri Dataran Putrajaya

Puluhan ribu mula banjiri Dataran Putrajaya

Anggota Angkatan Tentera melakukan persiapan terakhir pada acara perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 bertemakan "Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih" di Dataran Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 31 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia tidak kira latar belakang dan kaum serta bangsa membanjiri Putrajaya untuk menyaksikan acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2019 ke-62.

Tahun ini, Putrajaya sekali lagi dipilih sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan, kali keempat sebagai tuan rumah.

Antara kontinjen yang menyertai acara perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 bertemakan “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” di Dataran Putrajaya, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 31 OGOS 2019Bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia’ bersesuaian dengan laungan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mempromosi budaya tadbir urus negara yang baik, berintegriti tinggi serta menolak amalan rasuah secara keseluruhan.

Rata-rata mereka ini sanggup datang awal walaupun acara perarakan di jangka bermula 8 pagi kerana mahu mengelakkan daripada kesesakan tempat letak kereta, selain beberapa jalan mula di tutup secara berperingkat.

Acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan tahun ini melibatkan 34 kontinjen dengan penyertaan lebih 14,885 peserta awam, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan pelajar.

Dua anggota tentera siap sedia untuk acara perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 bertemakan “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” di Dataran Putrajaya, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 31 OGOS 2019

Selain daripada orang ramai, pelancong asing dari pelbagai negara juga kelihatan sudah mula membanjiri dataran dengan pelbagai gajet bersama mereka untuk merakamkan peristiwa bersejarah dan bermakna buat rakyat negara ini.

Setakat ini, orang ramai semakin membanjiri dataran dan memenuhi ruang di sekitar Dataran Putrajaya berhadapan Istana Kehakiman.

Turut menarik perhatian, buat pertama kali di Putrajaya telah diadakan persembahan ‘grafik manusia’ yang mempersembahkan pelbagai jenis grafik dengan mesej selari dengan tema Hari Kebangsaan 2019 tahun ini.

Istimewanya Hari Kebangsaan 2019, Putrajaya akan menerima keberangkatan Yang di-Pertuan Agong baharu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan.

Selain daripada itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan serta barisan kabinet.

Turut hadir duta-duta asing dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri menyertai acara gilang gemilang ini. –MalaysiaGazette