Home Politik Rakan baik tegur Hishamudin Rais serang Anwar

Rakan baik tegur Hishamudin Rais serang Anwar

Hishamudin Rais.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang menegur Hishamudin Rais yang sejak kebelakangan ini mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Hassan Abdul Karim, Hishamudin merupakan sahabat karibnya da sudah seperti adik beradik.

“Tetapi di dalam beberapa minggu ke belakangan ini, aku lihat sahabat baikku itu telah menulis di ruang media sosial sebanyak tiga kali yang kulihat menyerang Anwar secara tidak adil.

“Aku berasa resah jika tidak menegur sahabat baikku ini. Tiga artikelnya yang bertajuk berkaitan keberahian Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri, pada hematku, walaupun aku menghormati hak Hishamudin dalam prinsip kebebasan bersuara tetapi aku fikir sudah melangkaui garis fitnah dan inuendo yang tidak adil kepada Anwar.

“Aku tertanya-tanya sebenarnya mengapa Hishamudin begitu membenci Anwar Ibrahim? Tidak suka Anwar menjadi Perdana Menteri tidak mengapa, tidak menjadi masalah kepadaku tetapi kenapa Hishamudin begitu taksub untuk menjatuhkan Anwar dari segi politik dan kehidupan peribadi dengan serangan karekter yang bertubi-tubi sehingga mengheret isteri dan anak perempuan Anwar sendiri untuk menjahanamkan Anwar,” katanya dalam surat terbukanya hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.

Menurut Hassan, sebagai sahabat baik kepada Hishamudin dan juga kepada Anwar, beliua tidak boleh terus membisu.

Beliau mahu Hishamudin menyorot kembali kisah lampau bagaimana sahabatnya itu di bawa balik ke negara ini dengan ‘bantuan’ Anwar.

Justeru beliau mahu Hishamudin bermuhasabah dan cukup-cukuplah menyerang Anwar.

Hishamudin merupakan rakan Anwar semasa menuntut dan berjuang dalam persatuan pelajar Universiti Malaya sebelum melarikan diri ke luar negara selepas itu.

Selepas kepulangannya, beliau aktif membantu PKR menumbangkan Barisan Nasional namun kini sudah mulai mengkritik Anwar pula.- MalaysiaGazette