PUTRAJAYA – Rakyat harus menghargai bagaimana Malaysia membina sebuah negara yang berjaya berasaskan semangat kebersamaan dengan menghormati Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, semua rakyat Malaysia mempunyai peranan penting untuk memastikan mereka bangga dengan pencapaian negara selepas 62 tahun merdeka baik dari segi ekonomi atau sosial.
“Marilah kita bersama-sama meraikan hari yang penuh bermakna ini dengan mengekalkan semangat keharmonian dan perpaduan antara semua lapisan masyarakat Malaysia, agar aspirasi kerajaan ‘Kemakmuran Bersama’ dapat dikecapi oleh semua,” kata dalam kenyataan sempena Hari Kebangsaan 2019 hari ini.
Gobind berkata, ‘Kemakmuran Bersama’ merupakan salah satu inisiatif yang diperkenalkan ke arah hubungan harmoni dan kerjasama pelbagai kaum, yang menjadi kunci utama untuk menghadapi pelbagai cabaran supaya negara dapat mencapai matlamat kerajaan secara menyeluruh.
“Rakyat Malaysia terdiri daripada kepelbagaian budaya dan bangsa. Hubungan harmoni yang terjalin sesama kaum ini memperkukuhkan lagi kedaulatan dan pembangunan negara,” ujarnya.
Menurut Gobind, tema Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan 2019 untuk memberi fokus kepada hasrat kerajaan agar memupuk semangat sayangi negara dan mengeratkan lagi jalinan perpaduan dan keharmonian di antara semua.
Tema berkenaan juga memberi tumpuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dengan rakyat yang berintegriti dan mempunyai jati diri, katanya.
Sempena Hari Kebangsaan itu, beliau memohon agar semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyemarakkan lagi semangat kenegaraan, patriotisme dan menyemai unsur-unsur budaya, integriti, serta menolak amalan rasuah dalam kehidupan.
“Marilah kita kembali kepada prinsip-prinsip Rukun Negara yang menerapkan nilai-nilai murni yang berasaskan kedamaian, kesejahteraan, perpaduan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, sikap toleransi antara satu sama lain dan semangat patriotisme yang jitu,” katanya.
“Ini supaya kita semua dapat hidup bersatu padu tanpa sebarang sengketa dalam usaha membina satu negara yang maju dan dilihat oleh seluruh dunia sebagai contoh negara majmuk yang berjaya,” ujarnya. – MalaysiaGazette