KUALA LUMPUR – Minggu Usahawan Nasional (MUN) 2019 yang berlangsung di Taman Pameran Pertanian Malaysia (Maeps) mencatat jualan sebanyak RM30 juta.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Pembangunan Usahawan memberitahu, jumlah itu merupakan padanan perniagaan setakat pukul 5.30 petang hari ini melalui Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Nasional selama tiga hari.
“Keseluruhan jumlah tunai terkumpul selama tiga hari MUN 2019 adalah sebanyak hampir RM 1.5 juta,” kata kementerian berkenaan.
Menurut kenyatan itu, Bazar Jualan Harga Patut Koperasi yang diterajui oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah mendapat jualan tunai sebanyak RM6,700.00 melalui penjualan barangan harian dan dapur dengan harga 10-15 peratus lebih murah daripada harga biasa di pasaran.
Katanya lagi, bazar yang disertai oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bersama 43 koperasi itu memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan harga yang terbaik sempena bulan Kemerdekaan, sekaligus membantu untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Ujarnya, pengumuman mengenai perkara itu telah dibuat oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof yang membuat kunjungan sekali lagi pada hari ini selepas merasmikannya semalam.
Turut mengiringi menteri, Timbalanya Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Ramli, Ketua Setiausaha MED, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi serta pegawai-pegawai kanan Kementerian dan agensi.
Tambah kenyataan itu, selain program SDSI yang menyaksikan 14 negeri seluruh negara menawarkan produk, perkhidmatan dan makanan, pameran keusahawanan oleh 180 pempamer pelbagai sektor turut diserikan dengan Bazar Selebriti dan Konsert Merdeka MUN 2019 oleh artis-artis terkenal tanahair seperti Hael Hussaini, Ernie Zakri, Fieya Julia dan Luqman Faiz. – MalaysiaGazette