Home Dunia Lima maut, 21 cedera dalam kejadian tembakan rambang di Odessa

Lima maut, 21 cedera dalam kejadian tembakan rambang di Odessa

Kesan peluru pada kenderaan yang terlibat dalam kejadian tembakan rambang yang menyebabkan lima maut dan lebih 20 cedera di Odessa, Texas.

WASHINGTON – Sekurang-kurangnya lima maut dan 21 orang cedera dalam satu kejadian tembakan rambang di barat Texas, menurut polis Odessa, Texas.

Polis juga dilaporkan telah menembak mati salah seorang penjenayah tidak jauh dari pusat hiburan Cinergy di Odessa.

“Semua agensi sedang menyiasat laporan mengenai suspek,” kata polis Midland di laman facebook.

Menurut pihak berkuasa, kejadiam tembakan bermula dalam kesesakan lalu lintas dan suspek seorang lelaki berkulit putih dalam usia 30-an telah melarikan kenderaan pos AS dan terus melakukan tembakan rambang.

Walaupun kejadian tembakan dipercayai telah berakhir, namun Ketua Polis Odessa, Michael Gerke menggesa penduduk supaya berhati-hati.

“Saya mengingatkan semua penduduk Texas kita tidak akan membenarkan Lone Star State dirosakkan oleh kebencian dan keganasan. Kita akan bersatu sebagaimana warga Texas selalu lakukan,” kata Gabenor Texas, Greg Abbot dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian itu, tiga anggota polis juga dilaporkan cedera.

Presiden Donald Trump dalam ciapan di laman Twitter berkata, beliau telah diberi taklimat oleh Peguam Negara, Bill Barr mengenai kejadian itu. – MalaysiaGazette