Home Nasional UM terima 4,025 pelajar baharu bermula hari ini

UM terima 4,025 pelajar baharu bermula hari ini

Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim
Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim bercakap pada sidang media ketika hadir untuk melawat pusat pendaftaran sempena Sesi Pendaftaran pelajar baru sesi 2019/2020 di Kolej Kediaman Ketujuh (Za’ba), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Seramai 4,025 pelajar baharu yang bakal mengikut pelbagai program Sarjana Muda di Universiti Malaya (UM) mendaftarkan diri di semua 12 kolej kediamannya, hari ini.

Naib Canselornya, Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hashim berkata, kesemua 4,025 pelajar baharu itu akan mengikut Minggu Haluan Siswa (MHS) anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar UM dengan kerjasama Kesatuan Mahasiswa UM.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seraemai 281 pelajar yang mendaftar datang dari luar negara di mana 34 peratus daripada merupakan warganegara China.

“Kuliah akan bermula selepas itu dan didapati lebih kurang 4,025 pelajar baharu ini di mana 37 peratus daripada mereka ini adalah pelajar-pelajar lelaki dan 67 peratus adalah pelajar perempuan.

“Daripada jumlah itu, 281 pelajar baharu itu dari luar negara, lebih kurang 34 peratus dari China dan negara-negara lain,” katanya pada sidang media di Kolej Kediaman Ketujuh (Za’ba) UM, di sini, hari ini.

Fahmi Fadzil
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil diiringi Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim (tiga kiri) meluangkan masa melawat pusat pendaftaran sempena Sesi Pendaftaran pelajar baru sesi 2019/2020 di Kolej Kediaman Ketujuh (Za’ba), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2019

Hadir sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Pengetua Kolej Kediaman Ketujuh UM.

Abdul Rahim juga berkata, bagi memudahkan para pelajar baharu melaporkan diri hari ini, pihaknya hanya memerlukan masa sesingkat dua minit bagi mendaftar setiap mahasiswa dan mahasiswi baharunya.

“Kami berharap proses yang dijalankan ada perubahan terutama tahun ini kita cuba lakukan di mana pendaftaran hanya mengambil masa ada sesetengah tempat itu hanya 2-3 minit saja sehingga 15 minit.

“Kita dapat tentukan supaya mereka ini daftar secepat mungkin, dapat berinteraksi dengan sanak saudara mereka,” katanya.

Sebahagian pelajar baru membawa beg yang diisi dengan barangan keperluan harian sempena Sesi Pendaftaran pelajar baru sesi 2019/2020 di Kolej Kediaman Ketujuh (Za’ba), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2019

Dalam pada itu, pihaknya turut menerima pelajar-pelajar dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi menjalani pengajian sarjana muda pada pengambilan pertama, tahun ini.

“Kolej Ketujuh kita dapati terdapat pelbagai kemudahan untuk warga OKU dan terdapat lebih kurang 11 pelajar OKU yang mendaftar pada tengahari ini.

“Buat masa sekarang kita ada lebih kurang 50 pelajar-pelajar OKU termasuk di luar kampus, jadi setiap tahun itu ada peningkatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette