KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menyarankan semua pemimpin dalam Pakatan Harapan supaya mengikis mentaliiti sebagai pembangkang yang telah bersarang.
Beliau yang merujuk kenyaaan pemimpin DAP yang seolah-olah mempertikaikan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, semua pihak sepatutnya menumpukan tenaga dan usaha ke arah memantapkan pentadbiran kerajaan sedia ada.
“Segala buah fikiran, idea dan cadangan yang difikirkan dapat mencapai hasrat Malaysia baru boleh disalurkan melalui koalisi Pakatan Harapan yang merupakan medium paling tepat.
“Di sini, ingin saya sarankan kepada pemimpin dalam Pakatan Harapan khususnya supaya mentaliti sebagai pembangkang yang telah bersarang lama perlu dikikis,” kata Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR dalam kenyataan di sini.
Zuraida juga menggesa supaya polemik seumpama itu dihentikan segera kerana Dr Mahathir sendiri berulang kali menyatakan bahawa beliau akan mengotakan janjinya untuk meletak jawatan apabila sesuai waktunya kelak.
Katanya, sebagai anggota kerajaan, biarlah Perdana Menteri menyelesaikan misi bersama.
“Sebagai anggota kabinet, saya juga bertanggungjawab di atas semua keputusan Kabinet yang diambil selama ini.
“Atas sebab itulah, marilah kita sama-sama berkongsi beban tanggungjawab ini demi menuju kesejahteraan Malaysia.
“Semoga Allah swt memelihara tanahair ini. Merdeka!” katanya. – MalaysiaGazette