MADRID – Gareth Bale dibuang padang pada minit ke-90 selepas menjaringkan dua gol untuk Real Madrid bagi mengikat Villarreal 2-2 pada aksi La Liga.
Pada perlawanan itu Bale menerima dua kad kuning.
Villarreal mengejutkan pasukan pelawatnya dengan membuka jaringan awal pada minit Ke-12 menerusi Gerard Moreno.
Namun, Bale yang bukan lagi pilihan utama Zinedine Zidane berjaya menyamakan kedudukan pada lewat separuh masa pertama.
Real terus menguasai bola dan melakukan beberapa serangan balas pada separuh masa kedua.
Rembatan Tony Kroos dinafikan penjaga gol Villarreal, Andres Fernandez sebelum jaringan Karim Benzema dibatalkan kerana offside.
Namun Villarreal sekali lagi menghukum jentera pertahanan lawan bagi memperoleh gol kedua menerusi Gomes Bardonado pada minit ke-74.
Real yang mula cemas dengan gol itu mula mengatur strategi mencari gol penyamaan selepas permulaan hambar musim ini.
Hasilnya Bale sekali lagi muncul penyelamat bagi membolehkan pasukan pelawat membawa pulang satu mata.
Dengan keputusan itu Real menduduki tangga kelima dengan 5 mata selepas mengharunghi tiga perlawanan.
Manakala Atletico Madrid mengungguli carta La Liga dengan mengekalkan rekod bersih dengan 9 mata manakala Barcelona pula menduduki tangga kelapan dengan 4 mata. – MalaysiaGazette