Timbalan Pendakwa Raya Noor Mawarni Halim berkata penangguhan berkenaan dimohon pihak pembelaan sebelum ini di Mahkamah Tinggi di sini, kerana mereka sedang terlibat dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijalankan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Permohonan penangguhan perbicaraan kes itu yang sepatutnya bermula esok dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam baru-baru ini.
“Pihak pembelaan juga memohon kepada mahkamah supaya perbicaraan kes pembunuhan ini dijalankan pada setiap Jumaat, namun tarikh baharu bicara akan ditentukan dan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Pada 11 April lepas, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan perbicaraan kes pembunuhan Nazrin bermula esok hingga 15 Sept dan 23 Sept hingga 4 Okt ini.
Pihak pembelaan yang terlibat dalam perbicaraan kes pembunuhan berprofil tinggi itu adalah peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah dan peguam Hisyam Teh Poh Teik.
Dr Muhammad Shafee mewakili isteri Nazrin iaitu Samirah Muzaffar, 44, manakala Hisyam Teh mewakili dua remaja lelaki yang turut didakwa dalam kes pembunuhan itu.
Pada 12 Mac lepas, Samirah yang juga bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun, tersebut didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Homes, dekat sini, antara pukul 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi pada 14 Jun 2018.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama itu memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pada 27 Mac lepas, kedua-dua remaja itu dibebaskan dengan jaminan Mahkamah Tinggi dan dikenakan wang jaminan RM50,000 seorang namun dikenakan lapan syarat jaminan.
Antara lapan syarat jaminan adalah tidak boleh tinggal bersama ahli keluarga yang menjadi saksi, perlu berada di kediaman masing-masing bermula jam 6 petang hingga 6 pagi setiap hari, dan tidak dibenarkan meninggalkan negara dengan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Pada 28 Mei lepas pula, Mahkamah Persekutuan membenarkan Samirah dibebaskan dengan ikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin sementara menunggu perbicaraan.
— BERNAMA